0

Kegerunan yang dicabut

“Hari ini dunia Islam berhadapan dengan cabaran-cabaran dan ancaman sehingga dilihat sebagai golongan yang ditindas. Padahal kamulah yang tertinggi jika kamu beriman.” Firman Allah,
aaliimran139
Ayat 139, Aali ‘Imran.

Sejarah kegemilangan umat Islam yang kita maklum seperti Badar al-Kubra, 313 orang berjaya mengalahkan 1000 tentera musuh. Dalam perang muktah, 3000 tentera (dengan tiga orang panglima) berjaya mengalahkan musuh yang berjumlah 200 000. Pada ketika itu Allah campakkan gerun dalam hati musuh sehingga orang mukmin pada zaman sahabat menjadi hebat. Faktor-faktor kekuatan orang yang beriman dinyatakan oleh Allah dalam ayat 46 surah al-Anfaal.

Sesuai dengan ayat lain seperti berikut:

yunus62
Ayat 62, Yunus.

Maka pagi ini mari sama-sama kita fikirkan mengapa perkara ini berlaku dan perkara yang perlu dibaiki untuk kita kembalikan kemuliaan umat Islam. Dalam satu hadis dari Tsauban R.A.

hadis_alwahan
Maksudnya:

“Akan datang kepada kamu musuh-musuh memusuhi kamu sebagaimana orang-orang yang mengerumuni hidangan. Para sahabat bertanya: Adakah ketika itu bilangan kami sedikit wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah: Tidak, bahkan bilangan kamu pada masa itu ramai, tetapi kamu pada masa itu umpama buih. Allah mencabut perasaan gerun terhadap kamu dari dalam hati musuh-musuh dan kemudian Allah memasukkan ke dalam hati kamu al-wahan. Para sahabat bertanya: Apa itu al-wahan, ya Rasulullah? Jawab Rasulullah: Cintakan dunia dan benci mati.”

Jadi mengapa Allah cabut rasa gerun dari hati musuh Islam? Faktor pertama: Tidak taat kepada Allah dan rasulnya. Apabila ketaatan kepada Allah dan rasul ini tidak seimbang, maka musuh tidak lagi gerun kepada umat Islam. Hari ini kita lihat ada sesetengah golongan yang cuba menghidupkan kembali fahaman antihadis. Mereka berhujah rasul itu manusia biasa seperti manusia lain. Jadilah golongan ini sama sikapnya seperti Yahudi. Dalam Injil Allah telah menyebut ciri-ciri nabi akhir zaman. Yahudi dari bani Israil mengenali nabi akhir zaman seperti mereka kenal anak-anak mereka. Firman Allah:

albaqarah146
Ayat 146, Al-Baqarah.

Tetapi Yahudi membelakangkan rasul kerana Rasul akhir zaman datangnya dari kaum Quraisy, bukan dari kalangan bani Israil. Dalam sejarah kenabian, nabi yang paling banyak diutus dari kalangan bani Israil. Taat kepada Allah dan rasul perlu seimbang (diulang sekali lagi). Jika melebihkan rasul sahaja, jadilah pula golongan tersebut seperti Nasrani. Nasrani melebihkan Isa al-Masih sehingga mengatakan Isa al-Masih anak Tuhan dan mengangkat nabi Isa sebagai Tuhan. Pemisahan ketaatan kepada Allah dan Rasul disebut dalam Protokol 1859.

Selain berusaha memisahkan ketaatan kepada Allah dan rasul, mereka juga menganjurkan maksiat. Dalam konteks negara umat Islam, orang Islam sendiri yang menganjurkannya. Sebab itu yang disebut dalam ayat 139 surah Aali ‘Imran adalah kalimah mukmin bukan muslim. Lihat sahaja pengajuran Future Music (FMFA). Siapakah penganjurnya? (Ini bukan suatu rahsia lagi). “Siapa penanung kelab malam di Bukit Bintang, sehingga sebuan oleh jabatan agama dibuat ditutup kesnya begitu sahaja?”

Faktor kedua, berbantah/bergaduh sesama sendiri. Ayat 46 surah al-Anfal ditegaskan bahawa apabila kamu taat kepada Allah dan Rasul, usahlah kamu berbantah, bergaduh dalam hal ketaatan. Syariat Islam ada yang qat’ie (muktamad/ultimate). Perkara yang muktamad seperti ibadah khusus dalam rukun Islam. Ada pula perkara-perkara zhanni iaitu perkara khilaf. Perkara-perkara inilah yang diraikan dalam Islam sehingga wujud aliran pemikiran bermazhab. Sebagai contoh, bacaan Qunut dalam solat Subuh. Dalam mazhab Syafi’e bacaan Qunut adalah sunat muakkad. Manakala dalam Mazhab Abu Hanifah, bacaan Qunut tidak wajib. Adakah kedua-dua pelopor mazhab ini tidak mengikut sunnah atau membelakangi hadis? Jawabnya tidak. Imam Syafi’e berpegang pada hadis Anas Bin Malik yang menyebut nabi membaca Qunut dalam solat Subuh. Manakala Imam Hanafi menyandarkan pendapat beliau pada satu hadis lain. Kedua-dua mereka mengikut sunnah.

hds2

Contoh yang lain, kedua-dua mazhab menggunakan hadis yang sama tetapi dengan faham yang berbeza. Satu hadis bermaksud, “Tiada wuduk bagi yang tidak disebut nama Allah.” Imam Syafi’e berhujah tiada wuduk dengan makna tidak sempurna wuduk, maka dalam mazhab Syafi’e membaca basmalah adalah sunat. Manakala Imam Hanbal (mazhab Hanbali) berhujah tiada wuduk dengan makna tidak sah. Maka dalam mazhab Hanbali, membaca basmalah adalah rukun wuduk.

Perbalahan seperti ini tidak sepatutnya berlaku di negara umat Islam kerana akan melemahkan kekuatan. Tidak perlulah kita melabel mereka itu wahabi, mereka itu salafi, mereka itu khalaf dan seumpamanya kerana perbezaan perkara khilafiah. Manakala mereka yang cuba membawa perkara ini (amalan dari mazhab selain mazhab Syafi’e ke Malaysia) tidak perlu pula menyalahkan orang lain demi untuk menonjolkan pendapat mazhab yang cuba diketengahkan. Kita perlu meraikan perbezaan selagi perbezaan itu tidak bersalahan dengan syarak. “Dahulu saya tinggal di Kampung Pandan. Jemaah Subuh terdiri dari kalangan Melayu, Myammar dan Bangladesh. Ketika qunut mereka berdiri dan menunggu kita selesai qunut tanpa mengangkat tangan (berqunut). Kita tidak bising. Mereka juga tidak pertikai amalan kita.” (Tambahan penulis: Jika perkara ini tidak dapat diselesaikan secara harmoni, maka tiadalah umat Islam dapat mengerjakan haji di Makkah saban tahun.) Sekali lagi diulang, “Kita perlu meraikan perbezaan selagi perbezaan itu tidak bersalahan dengan syarak.”

Faktor ketiga, umat Islam ditimpa penyakit wahan. Cinta dunia dan benci akan mati. Menyukai dunia tidak salah. Menyukai harta, jawatan tidak salah. Yang salah adalah cinta dunia, harta dan jawatan. Apabila cinta, manusia sanggup buat apa sahaja. Sanggup rasuah. Sanggup membunuh. Manusia jadi lokek. Ada kisah ahli sufi Baghdad dan Kufah. Kedua-duanya berguru dengan guru yang sama. Apabila dilaporkan kepada ahli sufi Kufah, “Sahabatmu cinta dunia kerana kaya raya.” Maka ahli sufi Kufah berjalan ke Baghdad dengan membawa perlatan memasak (ketika itu mereka bermusafir seperti ini). Apabila sampai ke rumah ahli sufi yang kaya, dia dibenarkan masuk. Ahli sufi Kufah menanggalkan selipar dan membawa periuk belanga yang dibawanya. Setelah tiba sesi tazkir, ahli sufi Kufah berkata, “Sahabatku, engkau terlalu cintakan dunia.” Dijawab oleh ahli sufi Baghdad, “Apakah aku begitu? Aku memberi pada orang meminta. Tetapi kamu sebenarnya cintakan dunia. Mengapa kamu tidak tinggalkan peralatan kamu di luar? Tidakkah kamu lebih cintakan dunia?”

Takut akan mati tidak salah tetapi benci kematian salah. Apabila orang takut mati, dia akan bersedia menghadapi kematian. Sama seperti orang yang takut peperiksaan, dia akan berusaha menghadapi peperiksaan seperti mengulang kaji pelajaran atau ke kelas tuisyen.

Nota kuliah Subuh, Ustaz Raihan Bin Abdul Aziz, 20 April 2014, Surau As-Sumayyah, Intana Ria

Kongsi artikel ini..Share on Facebook1Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *