0

UPSR

examAdik saya yang kesembilan akan menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula esok. Dia menjadi sandaran kalangan pelajar-pelajar yang mendapat 5A. Ketika saya berada pada tahapnya, saya dipilih sebagai pelajar sandaran mendapat 4A yang pertama. Pada tahun sebelumnya, pencapaian terbaik sekolah ialah 3A 1B. Guru yang mengajar Bahasa Melayu ketika itu kini sudah naik pangkat menjadi Guru Besar.

Bagi memastikan impian tercapai, seorang guru dari Kuala Terengganu Cikgu Che Zahron bersetuju mengambil saya sebagai anak angkat. Beliau guru Kemahiran Hidup. Dua bulan sebelum peperiksaan, saya duduk bersama beliau dan isteri di Kampung Pauh. Isterinya bertugas di sekolah sama dan mengajar subjek Pendidikan Islam. Saya memanggil isteri beliau Ustazah Mariam. Ketika itu musim Piala Dunia. Saya kadang-kadang mengambil peluang menonton perlawanan piala dunia di rumahnya. Tentu sahaja dia tidak berapa setuju dengan kerenah saya. Tidakkah nanti saya akan mengantuk dalam kelas? Tetapi kerana semangat, saya rasa tidak mengantuk. Saya tidaklah melayan setiap perlawanan melainkan separuh akhir dan akhir sahaja.

Setelah projek pencapaian pertama 4A berjaya, bapa angkat saya dinaikkan pangkat. Dia ditugaskan pula ke Sekolah kebangsaan Kuala Berang. Ketika saya pulang beraya tahun ini, khabarnya dia bertugas di Sekolah Kebangsaan Bukit Diman. Disebabkan beliau guru KH, dia amat berminat dengan komputer. Sewaktu menemani saya belajar, dia membaiki komputer. Itulah kerja sampingannya sehingga akhirnya dia berjaya membuka kedai servis komputer di pekan Kuala Berang. Saya amat kagum dengan kegigihan beliau melangsungkan hidup dengan dwikerja. Dan sekarang pun saya percaya, hampir 70 peratus orang Malaysia yang bekerja mempunyai lebih dari satu mata pencarian. Demikian tuntutan hidup disebabkan kos sara hidup meningkat saban tahun.

Adik-adik saya tidak menghadapi UPSR seperti saya. Mereka belajar di rumah sahaja. Jika ada soalan mudah yang tidak dapat dijangkau akal, ibu menjadi peneman setia. Ibu kadang-kadang memberi idea seperti ayat atau formula matematik yang perlu diguna. Ayah juga kadang-kadang mengambil buku sambil membaca di meja belajar mereka sebagai tanda sokongan. Ibu atau ayah akan berjaga lewat malam melepasi jam 11.30 malam sekiranya mereka belum menyiapkan kerja sekolah. Hal ini dilalui adik saya yang pertama hingga keenam. Keadaan berubah tatkala sistem pendidikan baharu dikenalkan. Dasar PPSMI sama sekali menjadikan ibu dan ayah hampir tidak dapat memainkan peranan seperti dulu. Ketika PPSMI, bilangan pelajar cemerlang dengan gred A keseluruhan subjek menyusut. Saya percaya ayah selaku salah seorang AJK PIBG bersetuju kelas tambahan dan tuisyen malam diadakan di sekolah.

Guru-guru di sekolah amat dedikasi menjalankan tugas tanpa kenal letih. Bagi mereka pencapaian cemerlang adalah hadiah paling bermakna. Mereka tidak pernah mengimpikan imbuhan selain gaji yang dibayar kepada mereka. Dan mungkin nantinya suatu hari nama mereka akan disebut-sebut oleh bekas pelajar mereka yang telah berjaya. Apa khabar guru-guruku? Cikgu Nazmi, Cikgu Nasir Muda, Cikgu Yusof Embong, Cikgu Nik Kamariah, Cikgu Sakinah, Cikgu Lim, Puan Malathy Pillay, Cikgu Roslan, Ustazah Mariam, Cikgu Safar Syawal, Cikgu Raja Alias, Cikgu Kamariah dan Ustaz Baharuddin. Jika hari ini saya kembali menjejak sekolah, hanya Cikgu Nasir Muda dan ustazah Mariam masih kekal mengajar di sana.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *