0

Tiga golongan

Apabila Allah mencipta Syurga Adnin dan melengkapkan syruga itu dengan perkara yang tidak pernah dilihat oleh mata manusia, tidak pernah didengar, dan tidak pernah terlintas di hati manusia (walaupun dia berkhayal) – Allah membenarkan syuga Adnin berkata-kata. Lalu syurga ‘Adnin berkata – “Berjayalah orang yang beriman (tiga kali). Sesungguhnya aku haramkan diriku kepada tiga golongan iaitu orang yang bakhil, munafik dan orang-orang yang riyak.”

Bakhil. Semua orang ada sifat bakhil. Jika tiada sifat bakhil, apabila dapat gaji 10 ribu misalnya – apabila sampai di masjid dia sumbangkan kesemua 10 ribu. Cuma bagi orang beriman, bakhil itu dikawal sebaik-baiknya. Ada orang yang sangat bakhil terhadap dirinya. Ada kes seorang isteri mengadu kepada saya, “Suami saya ini duit berjuta. Tapi apabila beli kicap, dia syaratkan kicap perlu dihabiskan dalam masa dua bulan. Sebotol kicap dua bulan. Kalau budu, tidak boleh cecah dengan ikan bakar. Kena cecah dengan kacang panjang.” Apa yang ada pada kita belanjalah. Kalau mati, duit itu bukan lagi milik kita. Duit itu milik ahli waris.

Apabila kita ke luar negara, pergi Amerika contohnya kita perlu guna US Dolar. Kita tidak boleh bawa RM. Kita perlu tukar duit dengan penggurup wang (money changer) duit RM kepada USD, Euro, Yen, Bath, dan sebagainya untuk ke luar negara. Begitu juga dengan akhirat. Duit yang laku di sana adalah pahala (ath-thawaaab). Maka money changer kepada pahala di akhirat adalah ibnu sabil, fii sabilillah, anak yatim, fakir dan miskin (sedekah).

Munafik. Dalam sirah nabi, tidak pernah berlaku kisah nabi tidak jawab salam orang yang lewat datang solat berjemaah, lewat bayar zakat atau haji. Nabi hanya tidak jawab salam kepada orang yang lewat ke medan jihad. Semasa hampir berlaku perang Ahzab, sebahagian orang di Madinah mengadu kepada nabi, “Inna buyuutanaa ‘auratun, wa maa huwa bi’auratun. In yuriiduuna illaa firara” Maksudnya “Wahai nabi sesungguhnya rumah kami tiada penjaga. Padahal bukanlah sebenarnya hal tiada penjaga itu yang utama. Mereka tidak lain hanyalah mahu lari (mengelak diri) dari peperangan”.

Satu lagi kisah yang terkenal adalah kisah Ka’ab bin Malik serta dua orang lagi sahabat. “Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan) dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufik serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dialah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.” (At-Taubah:118) Sebelum turun ayat ini, nabi tidak jawab salam tiga orang sahabat ini. Kaum muslimin memulaukan mereka sepenuhnya.

Ka’ab bin Malik berkata, “Orang-orang yang menyertai perang telah ramai. Sudah mencapai jumlah yang disasarkan oleh nabi. Ramai juga yang menyedekahkan perlatan perang, kuda perang, dan makanan. Maka tidak perlu lagi diinfakkan harta kepada perang ini”. Hal ini menyebabkan tiada sumbangan sehingga keadaan sebenar di medan perang tidak sama dengan apa yang diucapkan oleh Ka’ab. Ka’ab ini seperti Umar al-Khattab. Seorang yang berani dan bengis. Suatu hari dia masuk sebuah pasar dan mengucapkan salam. Tetapi semua orang tidak menjawab. Ka’ab bertanya, “Mengapa kalian tidak menjawab salamku?” Sahabat menjawab, “Kami tidak akan menjawab sehingga Rasulullah menjawab salammu.”

Ka’ab pergi ke rumah bapa saudaranya. Rumah itu dan wang belanja bulanan adalah di bawah tajaannya. Sampai sahaja di rumah bapa saudaranya, Ka’ab mengucapkan salam, “Assalamu ‘alaika yaa ‘ammi (Salam sejahtera ke atas engkau, wahai bapa saudaraku).” Bapa saudaranya memandang langit dengan air mata bercucuran. “Aku tidak akan menjawab salammu meski engkau menarik semua harta yang berikan ini.” Jawab bapa saudaranya.

Golongan ketiga yang diharam oleh ‘Adnin untuk masuk ke dalamnya ialah orang yang riyak. Orang yang suka menunjukkan kebaikan kepada orang lain. Ali bin Abi Talib berkata, “Tanda orang riyak itu empat, malas jika sendirian. Tangkas jika di muka orang. Menambah amalan jika dipuji. Berkurang amalan jika dicela.”

Sumber: Peringatan Bagi yang Lupa (Tanbihul Ghafilin), m.s 12. Kuliah Maghrib Dato’ Nik Zawawi Bin Nik Salleh, masjid al-Hasanah, Seksyen 9, BB Bangi. 24.1.2015

Kongsi artikel ini..Share on Facebook8Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *