0

Testimoni BEDS

pg_beds1

Hari ini (5 Mac 2016) saya menyertai Bengkel Emas dan Syariah (BEDS) 2.0 yang dianjurkan oleh encik Mohd Zulkifli Shafie dan Ustaz Mohamed Khairul Anuar Basri. Seminar ini diadakan di premis Public Gold cawangan Ampang, Ampang Point. Bahagian pertama merupakan ceramah kesedaran peri penting menyimpan emas yang disampaikan oleh encik Mohd Zulkifli Shafie yang juga penulis buku Zero Hutang terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB).

Emas adalah pelindung kekayaan. Amerika Syarikat sebagai negara yang tidak suka kepada urusniaga menggunakan matawang emas. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Muammar Gadafi dan Saddam Hussein. Kedua-dua mereka digulingkan dengan pelanggaran AS terhadap negara mereka kerana kempen jual beli petrol menggunakan emas. Hal ini menyebabkan nilai mata wang USD menjadi tidak kukuh. Ironinya AS merupakan negara terbesar menyimpan rizab emas di dunia. Statistik Word Offical Gold Holdings edisi Februari 2015 menunjukkan AS menyimpan 8133.5 tan emas bersamaan 72.6 peratus simpanan emas negara-negara dunia. Malaysia pula berada di tangga ke-52 dengan rizab emas 35.8 tan (1.2 peratus). Mahaguru kewangan terkenal Robert Kiyosaki menganjurkan seseorang menukar 25 peratus kekayaan dalam bentuk emas fizikal. Manakala pakar kewangan Malaysia Azizi Ali mencadangkan perkara sama pada kadar 10 peratus.

Sesi kedua BEDS oleh Ustaz Mohamed Khairul Anuar Basri memperihalkan isu syariah dalam pembelian emas. Garis panduan jual beli emas sudah lama dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK). Teks penerangan yang berkaitan boleh dibaca di sini. Semasa membincangkan poin dalam garis panduan MFK, peserta seminar membangkitkan isu pembelian emas secara ansuran melalui kaedah main kutu. Bagaimana permainan kutu ini dibuat? Ibu kutu (pengelola) membeli emas dengan jumlah anak kutu (peserta). Sebagai contoh, sepuluh orang bermain kutu dengan target memperoleh 1g emas setiap orang. Maka ibu kutu membeli terlebih dahulu 10g emas (1g x 10) dan setiap orang membayar RM20 setiap bulan. Apabila tiba giliran, barulah emas diserah kepada peserta. Kaedah ini tidak patuh syariah.

Adakah ada cara untuk mencapai objektif serupa? Kita buat contoh pembelian syiling emas satu Dinar pula. Cara yang boleh dibuat adalah dengan bermain kutu wang yang biasa. Ibu kutu hanya menjadi pengelola untuk membolehkan setiap ahli mendapat sejumlah wang yang dikira boleh membeli sekeping syiling satu Dinar. Seandainya pada giliran peserta, harga satu Dinar lebih tinggi daripada jumlah wang terkumpul peserta tersebut perlu menambah wang yang tidak cukup. Sebaliknya jika harga lebih murah daripada jumlah terkumpul bulanan, wang lebihan pembelian Dinar diserah kepada peserta. Cuma kutu wang tidak disukai oleh BNM sehingga wujud Akta (larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 dengan edisi kemas kini 1 Disember 2011. Tetapi UZAR mengatakan permainan kutu ini harus.

Kemudian dibincang pula isu-isu syariah dalam jual beli emas Public Gold. Saya mula membeli emas PG pada 30 Mei 2011.  Terkini Public Gold Marketing (PGM) memperkenal kaedah pengumpulan emas melalui akaun GAP. GAP merujuk kepada Gold Accommodation Program iaitu pembelian emas dengan unit serendah 1g. Menurut PGM mereka sentiasa menyediakan 1 kg emas untuk pembeli yang mempunyai akaun GAP. Perlu diingat, akaun GAP Public Gold tidak sama dengan akaun emas Public Bank. Pembeli emas membeli emas dalam nilai berat. Pada bila-bila masa unit gram terkumpul yang dibeli boleh dikeluarkan dalam bentuk fizikal sama ada jongkong 1g, 5g, 10g, setengah Dinar, satu Dinar, dan seterusnya. Pemilik akaun GAP perlu menghubungi cawangan PG terdekat dan mengambil sendiri emas fizikal yang hendak dikeluarkan. Adakah urusniaga PG ini patuh syariah? Selain GAP, dibincangkan juga isu-isu syariah dalam jual beli meas PG melibatkan pengedar produk PG.

Saya tidak mahu memberi jawapan langsung kepada persoalan dalam para di atas kerana akan menjadi semacam bentuk kebocoran (spoiler). Disebabkan objektif penulisan ini untuk memberi testimoni kepada BEDS 2.0, saya sarankan pemabaca yang budiman menyertai mana-mana bengkel seumpamanya yang diadakan pada masa hadapan. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan sesi perbincangan dalam bengkel ini. Ia disampaikan oleh orang betul. Dengan pengalaman ustaz Khairul selaku penasihat syariah beberapa syarikat, ia menjadi kelebihan kepada beliau menganjurkan bengkel seumpama ini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada kedua-dua sahabat ini kerana sudi menganjurkan BEDS dengan harga yuran yang berpatutan. Maklumat semasa berkaitan BEDS boleh diikuti melalui fb Ustaz Emas dan Dinar

Kongsi artikel ini..Share on Facebook4Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *