0

Rajab ini

Ustaz memulakan kuliah beliau dengan muqaddimah, “Hari ini sudah masuk dua Rajab. Bermakna sudah berlalu satu malam yang diterima doa.” Beliau membaca hadis lima malam yang dimakbulkan doa. Mafhumnya, “Lima malam yang dimakbul doa iaitu malam 1 Rajab, malam nisfu Sya’ban (15 Sya’ban), malam Jumaat, malam ‘Idul Fitri dan malam ‘Idul Adh-ha.

Rajab adalah salah satu bulan yang dihormati oleh bangsa Arab. Pada bulan ini mereka tidak menumpahkan darah.” Kemudian ustaz baca ayat berkaitan bulan-bulan dalam Islam. Maksud ayat, “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.” Empat bulan yang dihormati ialah Muharram, Rajab, Zulkaedah dan Zulhijjah.

Ustaz mengulas pula kedudukan hadis berkaitan pengkhususan bulan seperti Rajab bulan Allah, Sya’ban bulan Rasulullah S.A.W dan Ramadhan bulan umat baginda. Katanya, “Sebenarnya hadis tersebut tarafnya dhaif. Tetapi sebagai galakan beramal ia boleh diguna sebagai memotivasikan diri melipat ganda amal ibadah dalam bulan-bulan ini.” Seterusnya ustaz membaca ayat pertama surah Al-Isra sesuai dengan tajuk kuliah yang diberi kepadanya iaitu Isra’ dan mikraj. “Allah memulakan dengan kalimah Subhana, kalimah yang mentakdiskan-NYA. Kalimah ini adalah sumpah selain sumpah yang bermula dengan ‘wau’. Imam Mutawalli Sya’rawi dalam menafsirkan ayat ini berkata mengapa Allah menggunakan Subhana bukan Alhamdulillah? Jawabnya ialah Allah menegaskan sesuatu perkara yang hanya akan diimani oleh mereka yang suci hatinya.

“Imam Mutawalli Sya’rawi dalam membahaskan ayat ini merujuk kepada satu hadis yang panjang. Saya ringkaskan hadis itu: ‘Aku berada di Haatim’ . Haatim dieja – Haa Too Ya Mim adalah nama lain bagi Hijir Ismail. ‘Kemudian aku dibawa sumur zam-zam. Jibril membelah dadaku dari bawah leher sehingga ke atas sedikit tempat tumbuh bulu ari-ari. Dikeluarkan hatiku dan dicuci dengan air zam-zam.’ Continue Reading