1

Ilham

Sememangnya ilham suatu yang rahsia. Ilham adalah seni hidup yang tidak pernah dapat diceritakan secara tepat. Setiap orang mempunyai cara sendiri mendapat sesuatu ilham. Kadang-kadang dalam keadaan tidak diduga. Bagaimana seseorang yang menulis misalnya? Ada kalangan penulis mendapat idea apabila berada jauh dari keramaian. Perlu bersunyi-sunyi dari kesibukan bandar atau anak isteri. Ada juga penulis yang mendapat ilham dalam hiruk-pikuk manusia dan deruman enjin mesin. Ada sesetengah penulis mendapat ilham dalam mimpi atau hasil renungan di tepi tasik atau laut. Dikhabarkan SN Abdullah Hussain dikatakan menghasilkan novel IMAM setelah bermimpi. Ilham tidak tertumpu pada bidang penulisan sahaja malah setiap rekayasa di dunia bermula dengan ilham. Apabila dicambahkan ilham bertukar menjadi idea yang solid. Maka timbullah macam-macam perkara dalam dunia seperti pembinaan bangun, penciptaan kenderaan, gajet elektronik, pembangunan produk perniagaan, kaedah pengajaran, teknik penyelesaian masalah, filem dan lain-lain.

Saya mendapat ilham untuk menulis setelah membaca atau mendengar kuliah pengajian di masjid. Apa yang saya dapat ingat dalam tempoh 48 jam selepas kuliah agama, itulah yang saya tulis. Dua hari itulah keupayaan otak saya mengingat apa yang saya dengar kerana saya tidak menulis nota ketika kuliah agama. Dalam hal lain, kadang-kadang idea yang diperam menjadi mainan tidur. Dari mimpi itulah idea bertukar menjadi sebuah karya yang lengkap. Satu ilham yang dikira misteri hingga kini berkaitan pembangunan portal. Suatu hari seorang jiran bertemu saya di hadapan lif. Dia bertanya, “Kamu boleh bina laman web?” Mungkin dia bertanya kerana melihatkan saya menggalas beg laptop. “Ya.” Jawab saya basa basi. Saya mula memikirkan untuk membina laman web dalam laptop dahulu. Kemudian hasilnya akan saya tunjukkan kepada beliau. Saya pun mula menimbang dua kemungkinan sama ada untuk menggunakan source code Liferay atau WordPress. Kedua-duanya boleh dibangunkan menggunakan pangkalan data MySQL. Memandangkan Liferay lebih baik dibina untuk laman web besar yang memiliki berates-ratus halaman, maka saya putuskan untuk menggunakan WordPress.

Saya muat turun source code WordPress kemudian install enjin untuk pangkalan data. Enjin pangkalan data MySQL, Apache dan PHP dalam laptop. Semua ini lengkap dengan instalasi XAMPP (bagi Windows) atau WAMPP (bagi Linux). Continue Reading