0

Sumber

Tiba-tiba sahaja dia berjumpa seorang tua. Ada biji tasbih di tangan kanan. Dan tangan itu sudah berkedut-kedut. “Anakku, tahukah engkau teraju utama Negara kita berbelanja besar. Dan belanja besar itu kononnya diambil dari beberapa sumber seperti kumpulan wang simpanan kakitangan (KWSK). Alkisah dilanjutkan tempoh persaraan kakitangan mana-mana majikan sehingga membolehkan mereka berkhidmat hingga renta enam dekad.”

Lalu dia pun mengira akan kadar pengangguran yang akan bertambah disebabkan lanjutan tempoh perkhidmatan itu. “Tentu sahaja anak-anak muda yang kian melangkah kedewasaan akan berdendam dengan golongan lama ini. Mereka akan mendapat peluang tipis mengisi jawatan yang sepatutnya dikosongkan lebih awal.” “Tetapi anakku, inilah suatu hal yang engkau tidak boleh salahkan teraju utama Negara itu.”

Orang tua itu berhenti membilang biji tasbih. Dia masukkan ke dalam poket sisi gamis. “Selain itu teraju Negara dikatakan mengutip dana dan pinjaman besar dasar apungan saham pemilik-pemilik tanah komoditi. Maka dapatlah dia memberi bonus kepada dua generasi melibatkan bapa, ibu dan anak-anak pemilik tanah ini. Tetapi pemilik tanah ini sebelum dapat membeli saham-saham terpaksa pula mencagar tanah milik mereka.”

“Apakah engkau tahu, kedua-dua teori ini tidak benar?” Dia geleng.

“Laporan audit bank pusat Negara menunjukkan wang KWSK dan pemilik tanah itu langsung tidak diusik. Maka seantero kayangan ini bertanya dari mana sumber kewangan teraju utama itu? Tidakkah engkau tahu jika mereka perlu belanjakan RM12 bilion sebagai bantuan meringankan beban marhain, tidakkah wang itu dikumpul dalam jangka 10 hingga 12 tahun?” Dia geleng.

Kemudian dia dengar dentum! Dia terjaga. “Ah, pagi-pagi sudah ada orang bermain mercun! Barangkali dia mahu kejutkan kami sahur.”

Tiada orang tua. Tiada bicara ekonomi. Tiada apa-apa. Yang ada hanya dirinya. Sebuah bilik sunyi di tingkat 12. Kipas berputar. Semilir fajar menerobos menggigit belulangnya.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *