0

Stuxnet

Saya memiliki kegemaran mengunjungi perpustakaan jika sesekali pulang bercuti. Terbaharu, di Perpustakaan Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang sudah dilengkapkan kemudahan capaian internet tanpa wayar (WiFi Zone) di ruang legarnya. Pengunjung yang membawa laptop tidak perlu masuk ke dalam perpustakaan. Ada dua pusat akses (access point) internet terbuka yang boleh dicapai iaitu perpustakaan dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM). Yang saya cuba, PKM lebih mudah disambungkan.

Baru-baru ini saya berpeluang mengunjungi perpustakaan negeri berhadapan Pusat Dagangan Terengganu (TTC). Mendaftar sebagai ahli dengan bayaran RM2 dan kad keahlian elektronik siap dalam masa tidak sampai lima minit. Kaunter pendaftaran menghadap matahari naik dan cahaya yang menembusi cermin di bumbung perpustakaan memancar terus pada komputer. Saya maklumkan petugas di kaunter, “Skrin komputer cepat rosak jika terdedah secara langsung kepada cahaya matahari.”

Ya, meski di dalam perpustakaan itu dipasang pendingin hawa. Meski yang terkena cahaya itu bahagian belakang skrin. Jangka hayat skrin komputer akan menjadi lebih panjang jika tidak terdedah kepada pancaran cahaya matahari. Saya cadangkan pihak perpustakaan memasang tabir untuk menghalang cahaya tersebut. Terpulanglah kepada mereka untuk menerima atau menolak saranan itu. Setelah meminjam empat buah buku untuk tempoh 28 hari, saya ke tingkat tiga. Unit multimedia menyediakan kemudahan internet kepada ahli-ahli perpustakaan yang berdaftar. Tidak banyak perkara yang dapat dibuat kerana terdapat sekatan seperti capaian ke laman blogger.com. Walhasil saya tidak dapat sahkan satu komentar pembaca entri weblog ini pada saat itu.

Saya percaya, hari ini ada satu terma gangguan internet yang termasuk di dalamnya weblog-weblog persendirian dan akhbar elektronik aliran bukan perdana. Media baharu ini cukup dibimbangi kerana sifatnya yang lebih terbuka mendedahkan kepincangan mana-mana pihak. Bagi pengendali blog kepartian, tentulah agenda parti masing-masing dimuatkan dalam weblog atau akhbar mereka. Dan inilah yang berlaku kepada hampir keseluruhan kakitangan kerajaan. Tidak banyak akses kepada media bukan kerajaan yang dapat diakses di pejabat. Jika ada, pemantauan dibuat dan mungkin mereka akan diberi amaran. Dalam dunia langit terbuka, kawalan seperti itu sebenarnya tidak bagus. Ia semacam menghalang proses menakul maklumat. Tidakkah manusia diberi dua telinga? Jika dalam dunia ini manusia hanya perlu mendengar hanya satu sumber, cukuplah bagi manusia satu telinga.

Belakangan ini juga, gangguan internet yang melanda persekitaran siber ialah aktiviti menggodam. Jumlah gangguan siber yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 meningkat sebanyak 92 peratus kepada 4390 kes sepanjang lapan bulan. Selain itu satu virus yang dinamakan Stuxnet telah menyerang tujuh buah negara dengan Iran menjadi mangsa terbaharu pada minggu lepas. Virus Stuxnet telah melumpuhkan 45000 sistem industri di tujuh buah negara berkenaan. Di Iran sahaja, 30000 alamat IP sudah dijangkiti. Dan apakah pihak keselamatan siber Malaysia bersedia menghadapi kemungkinan ancaman pepijat Stuxnet ini?

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *