0

Secebis darma

“Bila mahu gerak?” tanya adinda saya.

“Baru hendak turun.” Jam menunjukkan tepat 8.00 pagi. Perjalanan ke UPM dari Syeksen 7, Bandar Baru Bangi kira-kira 10 hingga 15 minit bergantung kepada tahap kesesakan dan pecutan. Jaraknya 10 kilometer sahaja. Saya tiba di UPM jam 8.15 pagi. Trafik di pintu masuk UPM agak sesak kerana pelajar baharu mendaftar. Jaga yang menjaga trafik tidak bertanya banyak perkara kerana pelekat kenderaan UPM – MTDC ada pada cermin hadapan.

Jam 8.30 kami memulakan perjalanan ke LCCT. Kami tiba jam 9.20 pagi. Ketika tiba, adinda saya terus diarahkan check-in. Memang prosedur biasa meski penerbangannya jam 11.30 pagi. Terdapat sedikit masalah timbul disebabkan sebahagian ahli dalam kumpulan mereka memiliki bagasi melebihi muatan. Maka terpaksalah pengurus kumpulan ini membayar lebih. Sebagai penyelelsaian terpaksalah masing-masing yang terlibat menambah bayaran lebih sekitar RM300 ++. Pada asalanya harga tiket (termasuk caj bagasi dan perkhidmatan lain) setiap mereka RM196. Sementara menunggu urusan selesai, saya mengambil peluang menghilangkan letih-letih badan. Bayarannya RM1.00 selama tiga minit.

Urusan selesai di peringkat kaunter pelepasan jam 11.00 pagi. “Mahu makan di mana-mana?” Tanya saya kepada dua orang lagi adinda saya. Mereka datang dari Johor. Seorang mengajar di sebuah sekolah di Johor. Manakala seorang lagi sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana (masters) dalam bidang Matematik. “Sudahnya kamu mahu makan kenduri di Shah Alam, tidak perlulah.” Kata salah seorang daripada mereka. Dua-dua adinda saya ini pingitan. Maka foto mereka tidak akan disiar secara langsung dalam mana-mana artikel blog. Saya hormati privasi mereka. Saya bertolak ke Shah Alam dan tiba jam 12.30 di Dewan MBSA Beringin, Syeksen 24. Sebenarnya saya sampai jam 11:50 pagi. Ketika itu saya berhenti berhampiran Pejabat Les Copaque untuk bertanyakan arah. Maklum sahaja saya tidak menggunakan peranti GPS. Salah seorang pengunjung yang membawa anak kecil untuk bergambar di luar pejabat produksi Upin Ipin ini menjawab, “Kami pun tidak pasti.”

Terpaksalah saya meneruskan perjalanan dan berhenti di stesen Petronas Syeksyen 13. “Bagaimana saya boleh sampai ke Seksyen 24?” ujar saya kepada seorang jurupam. “Oh. Rumah saya di sana. Abang kena lalu lima bulatan. Bulatan pertama ambil jam 12. Kedua jam 12. Ketiga jam 12. Keempat jam 9. Kelima jam 3. Sampailah Seksyen 24.” Ketika sampai, saya disambut tuan rumah. Dia bertanya, “Datang seorang sahaja? Mana orang rumah? Silalah.” “Seorang.” Kenalan saya ini bekas wartawan dan kini menulis secara freelance dari rumah. Dia yang maklum sayadalam kalangan PJJ (perkahwinan jarak jauh) membandingkan pengalamannya, “Saya dulu enam tahun PJJ.” Saya tumpang makan semeja dengan seorang lagi penulis terkenal. Rasa kerdil pun ada memandangkan saya belum ada senarai buku sebanyak beliau. Dia datang bersama suami dan anak tunggal mereka. Jam 1.10 saya bertolak pulang ke Bangi.

Adindaku, apa yang dilakukan oleh kami abang dan kakak-kakakmu adalah secebis darma. Semoga tabah berjauhan dan jumpa semula lima bulan dari sekarang, insya-Allah.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *