0

Sahabat-sahabat yang terawal masuk Islam

Khadijah menjadi wanita dan manusia pertama yang beriman dengan kerasulan Nabi Muhammad. Adapun Waraqah bin Naufal yang dirujuk Khadijah selepas peristiwa penurunan wahyu pertama tidak sempat beriman dengan syariat Islam yang dibawa oleh baginda. Pun begitu Waraqah berkata kepada nabi ketika sama-sama tawaf di Kaabah, “Demi Allah, jika aku sempat melalui zaman bahawa engkau akan diusir oleh kaummu sendiri; maka aku akan tetap bersama-samamu (menyokong perjuangan).”

Waraqah bin Naufal seorang pendita yang taat dengan ajaran Nabi Isa. Beliau beriman dengan semua rasul dan nabi. Dia tidak dicatat dalam sejarah Islam (seerah Nabawi) sebagai orang yang terawal Islam kerana beberapa hari selepas tawaf, dia meninggal dunia.

Suatu hari Ali bin Abu Talib Karramallahu wajhah ke rumah nabi. Usianya 10 tahun. Ketika itu dia diambil sebagai anak angkat sebagai usaha baginda meringankan tanggungan Abu Talib. Apabila melihat nabi dan Khadijah bersolat dia bertanya, “Apakah yang kalian berdua lakukan?” Nabi menjawab, “Inilah agama baru yang dibawaku. Aku Utusan Allah dan aku menyerumu kepada Islam.”

Pun begitu Ali mahu kembali ke rumahnya dengan berkata, “Aku perlu meminta pendapat ayahku dahulu.”

Baginda menjawab, “Usah engkau hebohkan rahsia ini. Jika engkau mahu beriman, nyatakan segera.”

Ali meminta waktu untuk berfikir. Malam itu dia tidak kembali ke rumahnya seperti yang diharap oleh nabi. Pada keesokan harinya dia menyatakan kesaksian kepada Allah dan Rasul-NYA.

Apabila orang-orang Arab Quraisy mula membawa mulut darihal agama baharu yang dibawa, Abu Bakr terus mencari nabi. Setelah bertemu nabi dia bertanya, “Benarkah berita yang aku dengar engkau meninggalkan agama nenek moyang kita?”

Nabi menjawab, “Benar. Aku Pesuruh Allah dan aku menyerumu kepada Islam.”

Tanpa banyak soal Abu Bakr menyatakan kesaksiannya. Islam sudah Abu Bakr sebagai orang lelaki dewasa pertama.

Abu Bakr menemui sahabat-sahabat yang berurus niaga dengannya. Dia berjaya meyakinkan Abdul Rahman bin Rauf, Usman bin ‘Affan, Saad bin Abi Waqash.

Ketika Talhah bin Ubaidillah berniaga ke Bushra, dia bertemu dengan seorang paderi Nasrani. Rahib yang alim dan taat dengan ajaran nabi Isa ini bertanya, “Adakah sesiapa yang datang dari Makkah?”

Lalu Talhah menjawab, “Aku. Aku datang untuk memperdagang baranganku.”

Tetapi Rahib itu tidak bermaksud berurus niaga dengannya, “Apakah sudah muncul Ahmad di kalangan kamu?”

Talhah bertanya, “Siapa Ahmad?”

Paderi itu membalas, “Dia anak Abdullah bin Abdul Mutalib. Dia dilantik sebagai nabi akhir zaman. Jika engkau dapati kemunculannya, usah berlengah untuk beriman dengan kerasulannya.”

Sekembali dari Bushra, Talhah menceritakan perisitwa itu kepada Abu Bakr. Lalu dia pun beriman.

Abu Bakr menjadi orang beriman tanpa ragu-ragu kerana dia seorang yang gemar belajar. Dalam misi dagangnya, beliau sentiasa berhubung dengan Paderi dan Rahib Nasrani yang warak. Dia telah mengetahui lebih dahulu tentang kehadiran nabi akhir zaman.

Pada awal tempoh keislaman, Abu Bakr dan Talhah ditangkap oleh abang Abu Talhah dan dikurung. Tetapi mereka berdua berjaya meloloskan diri. Selain daripada itu, Zaid (hamba Khadijah) turut menjadi orang terawal memeluk Islam. Zaid kemudiannya dimerdekakan oleh nabi Muhammad. Begitu juga halnya Abu Dzar al-Ghiffari.

Sahabat-sahabat ini dijamin nabi sebagai penghuni syurga.

——-

Nota: Kuliah Maghrib, Ust. Hanafi Abd. Rahman, Masjid al-Hidayah Sentul, KL. 09 Julai 2010.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *