0

Raya ini

Hari ini saya sekali lagi di luar kebiasaan. Syarikat menganjurkan majlis berbuka puasa di Hotel Equatorial Bangi. Minggu lepas saya dijemput oleh anak syarikat dalam kumpulan syarikat majikan berbuka puasa di Palm Hotel, Putrajaya. Sesuatu yang percuma memang menyenangkan. Ambil sahaja berapa banyak yang dikehendaki. Tetapi saya tetap dengan kebiasaan makan seadanya.

Saya berisyak dan taraweh di Masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi. Betapa Ramadhan adalah bulan orang mengejar amal kebaikan. Ahli jawatankuasa masjid mengumumkan kutipan derma bagi anak-anak yatim yang dikumpul sebanyak RM70 000. Dan RM68 000 telah diagihkan kepada 680 orang anak yatim seluruh Bangi. Bertuahlah sesiapa yang memiliki saham dalam kebajikan ini.

Raya tahun ini saya pulang menumpang kereta sahabat. Saya sewakan kereta kepada seorang sahabat lain yang beraya di Johor. Cukuplah caj sewa tersebut sebagai kos servis kereta selepas musim raya nanti. Alhamdulillah.  Raya tahun ini seperti yang disetujui, hari pertama dan kedua di rumah ayah. Manakala raya ketiga dan berikutnya di rumah bapa isteri. Isteri saya tidak mengambil cuti panjang sebagai mana saya cuti genap satu minggu. Cuti tahunan saya masih berbaki 13 hari. Isteri saya akan memulakan kerja pada hari Rabu. Sahabat yang menumpang keretanya hanya cuti dua hari. Pada Rabu, beliau sudah masuk kerja. Maka terpaksalah saya pulang ke Bangi dengan bas.

Raya tahun ini berbeza dengan raya sebelumnya. Nenek sebelah ibu sudah tiada. Dia meninggal tahun lepas, iaitu pada hari kedua kelahiran anak sulung saya. Nenek dan datuk sebelah bapa sudah lama tiada. Setiap pagi raya, selepas solat sunat Eid, kami menziarah pusara mereka. Dan sejak kematian datuk sebelah bapa, raya semacam sudah tidak berseri. Tiada lagi acara berkumpul di rumah datuk seperti tahun-tahun sebelumnya. Masing-masing sudah beraya di rumah sendiri. Rumah pusaka arwah datuk juga sudah tiada. Tapaknya diganti tempat parkir buat cucu-cucu anak datuk paling bongsu.

Raya pun tidak lagi menggembirakan kerana saya sudah melepasi zaman kanak-kanak. Kata kawan saya, “Setiap kali raya, tivi sahaja jadi peneman.” Apakah sudah luntur budaya tradisi hari raya milenium lalu dalam diri kita?

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *