0

Rajab ini

Ustaz memulakan kuliah beliau dengan muqaddimah, “Hari ini sudah masuk dua Rajab. Bermakna sudah berlalu satu malam yang diterima doa.” Beliau membaca hadis lima malam yang dimakbulkan doa. Mafhumnya, “Lima malam yang dimakbul doa iaitu malam 1 Rajab, malam nisfu Sya’ban (15 Sya’ban), malam Jumaat, malam ‘Idul Fitri dan malam ‘Idul Adh-ha.

Rajab adalah salah satu bulan yang dihormati oleh bangsa Arab. Pada bulan ini mereka tidak menumpahkan darah.” Kemudian ustaz baca ayat berkaitan bulan-bulan dalam Islam. Maksud ayat, “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.” Empat bulan yang dihormati ialah Muharram, Rajab, Zulkaedah dan Zulhijjah.

Ustaz mengulas pula kedudukan hadis berkaitan pengkhususan bulan seperti Rajab bulan Allah, Sya’ban bulan Rasulullah S.A.W dan Ramadhan bulan umat baginda. Katanya, “Sebenarnya hadis tersebut tarafnya dhaif. Tetapi sebagai galakan beramal ia boleh diguna sebagai memotivasikan diri melipat ganda amal ibadah dalam bulan-bulan ini.” Seterusnya ustaz membaca ayat pertama surah Al-Isra sesuai dengan tajuk kuliah yang diberi kepadanya iaitu Isra’ dan mikraj. “Allah memulakan dengan kalimah Subhana, kalimah yang mentakdiskan-NYA. Kalimah ini adalah sumpah selain sumpah yang bermula dengan ‘wau’. Imam Mutawalli Sya’rawi dalam menafsirkan ayat ini berkata mengapa Allah menggunakan Subhana bukan Alhamdulillah? Jawabnya ialah Allah menegaskan sesuatu perkara yang hanya akan diimani oleh mereka yang suci hatinya.

“Imam Mutawalli Sya’rawi dalam membahaskan ayat ini merujuk kepada satu hadis yang panjang. Saya ringkaskan hadis itu: ‘Aku berada di Haatim’ . Haatim dieja – Haa Too Ya Mim adalah nama lain bagi Hijir Ismail. ‘Kemudian aku dibawa sumur zam-zam. Jibril membelah dadaku dari bawah leher sehingga ke atas sedikit tempat tumbuh bulu ari-ari. Dikeluarkan hatiku dan dicuci dengan air zam-zam.’

Muslimin muslimat yang dirahmati, ini adalah pembedahan kali keempat. Pertama kali hati baginda dicuci ketika berusia empat (4) tahun. Kemudian ketika hampir baligh. Ketiga dibedah semasa beliau hendak dilantik menjadi Rasul. Dan keempat ketika peristiwa Israk dan Mikraj.” Ustaz mengingatkan audien agar tidak berfikir dengan lebih mendalam apakah ketika pembedahan itu berlaku pendarahan? Adakah baginda rasa sakit dan lain-lain yang tidak difikir dengan logik dunia perubatan hari ini. Setelah dicuci hati baginda, kesan belahan dada itu dikatup dan kembali seperti sedia kala. “Dalam kehidupan kita hari ini, apabila kita bersiap sedia untuk solat, kita perlu menyucikan diri dengan berwudhuk. Wudhuk itu hukumnya sunat tetapi menjadi wajib apabila hendak menunaikan solat.” Kemudian diceritakan pula kalimah berikutnya dalam ayat satu surah al-Isra iaitu asraa. “Asraa bermaksud diperjalankan. Bermakna bukan baginda berjalan sendiri. Perjalanan baginda dari Masjid al-Haram (Makkah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin). Kemudian dibawa ke Sidratul Muntaha. Apakah perkara ini melibatkan jasad baginda atau baginda melaluinya dalam mimpi atau tidur? Allah menggunakan kalimah bi-‘abdihi yang bermaksud perjalanan itu melibatkan diri baginda dalam keadaan sedar.” Ustaz membaca ayat 13 dan 14 surah An-Najm. Maksud ayat, “Dan demi sesungguhnya dia (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril) dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi. Di sisi Sidratul-Muntaha.”

Dalam konteks solat, bermaksud solat wajib ditunaikan dengan melibatkan anggota badan tidak boleh hanya dengan niat. Di Malaysia ada suatu ajaran sesat yang solat menggunakan niat sahaja. Mereka menggunakan kitab Hakikat Insan. “Ustaz cerita kisah sahabat nabi dalam menghadapi solat. Ulasnya, “Suatu hari ketika Subuh Umar al-Khattab menjadi Imam. Ketika itu Abu Lu’ Luah menyusup dalam saf solat dengan niat untuk membunuh Umar. Belum sempat Umar mengangkat takbir beliau ditikam. Enam belas kali tikaman yang hanya disedari para sahabat setelah Umar menjerit: ‘Aku ditikam!’ – betapa khusyuk (fokus) hati dan minda pemikiran para sahabat dalam menunaikan solat bermula dari pembinaan saf lagi.

Kita hari ini bagaimana? Ada sesetengah tempat yang saya pergi dalam berdiri sebelum takbiratul ihram sempat lagi cuit kawan. Kalau kena kawan yang latah atau buat-buat latah, macam-macam perkataan yang keluar.”

“Semoga kita sama-sama ambil iktibar melalui kisah israk dan mikraj yang sempat diceritakan ini.” Ustaz mengakhiri kuliah pada jam 9.00 malam.

Nota kuliah Magrib, Ustaz Halim Din, Masjid al-Hasanah, Syeksen 9, BB Bangi. 11 Mei 2013

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *