0

Permulaan Hijrah

Pada awal dakwah Ar-Rasul (S.A.W), hanya lebih kurang 40 orang menerima dakwah baginda. Ketika ini rumah Arqam bin Abi al-Arqam menjadi pusat dakwah. Umat Islam mendapat tekanan hebat Musyrikin Makkah. Maka berlakulah Hijrah pertama iaitu ke Habsyah. Seramai 15 orang menyertai Hijratu al-Uulaa ini. Mereka termasuklah Uthman Affan, isteri Uthman (Ruqayyaih) dan ‘Utbah bin Rabi’ah. Mereka menyeberang Laut Merah menaiki kapal kecil dan tidak sempat ditangkap Musyrikin yang mengejar mereka.

Tekanan diperhebat ke atas baki Muslimin yang berada di Makkah. Hal ini menyebabkan baginda mendapat keizinan dari Allah untuk hijrah kedua. Baginda mengarahkan sahabat-sahabat berhijrah ke Yathrib. Yathrib adalah nama Yahudi. Kemudian nama ini ditukar menjadi Madinah al-Munawwarah. Munwwarah bermaksud yang diterangi cahaya, iaitu cahaya Islam dan iman. Pada malam nabi keluar dari rumah baginda, sekumpulan pemuka Quraisy bermesyuarat di Dar al-Nadwah. Mereka berbincang cara untuk menghalang dakwah nabi. Antara cadangan yang dikemukakan termasuk memenjarakan nabi, membuang nabi ke luar negeri dan bunuh. Cadangan pertama ditolak kerana mereka bimbang pengikut nabi akan memberontak dan melepaskan baginda. Cadangan kedua tidak diterima kerana akan menambah kekuatan baginda dengan sokongan orang luar, di tempat baginda dibuang. Cadangan ketiga diterima dengan campur tangan Iblis yang menjelma sebagai manusia.

Pun begitu, cadangan ketiga ini dibahaskan kerana jika satu kabilah sahaja membunuh baginda, pasti Bani Hasyim akan menuntut bela. Musyrikin Makkah pun bersetuju untuk menghantar wakil setiap kabilah. Apabila Bani Hasyim ingin menuntut bela, ia perlu berhadapan dengan seratus orang yang terlibat dari pelbagai kabilah. Mendengar cadangan ini, Abu Talib beredar dan pergi ke rumah Baginda. “Hai anakku, tahukah kamu rancangan Musyrikin ke atasmu?” Lalu baginda menceritakan cadangan yang dibincang dalam mesyuarat di Dar al-Nadwah. Mendengar jawapan Nabi, Abu Talib bertanya, “Siapa yang memberitahumu?” Jawab baginda, “Tuhanku.” Abu Talib berkata lagi, “Ni’ma rabbu RABBUK.” (Maksudnya, “Sebaik-baik Tuhan TUHANMU.”) Pada malam itu nabi memanggil Ali bin Abi Talib supaya berbaring di tempat perbaringan Baginda. Ali diselimut dengan selimut hijau baginda.

Peristiwa ini dikaitkan dengan sebab turun ayat 9, surah Yasin. Mafhumnya, “Dan Kami jadikan sekatan di hadapan dan di belakang mereka. Lalu Kami tutup pandangan mereka, maka dengan itu mereka tidak dapat melihat.” Secara logik bagaimana mungkin nabi boleh menyeronot di celah-celah kepungan 100 orang? Rumah baginda bukanlah luas seperti rumah-rumah yang ada hari ini. Menurut ustaz Don, “Replika rumah nabi boleh dilihat di Yayasan Restu, Shah Alam.” Disebabkan nabi melalui persekolahan Allah, Baginda amat yakin dengan bantuan-NYA. Lalu dibacakan ayat itu sehingga Baginda tidak dilihat oleh pemuda yang mengepung rumahnya. Nabi menuju rumah Abu Bakr As-Sidiq. Di sini baginda merancang strategi hijrah. Antaranya diarahkan anak perempuan Abu Bakr iaitu Asma menghantar sarapan dan jejaknya dipadam oleh seorang pengembala kambing. Selain itu diarahkan Abdullah menghantar dua ekor unta pada hari ketiga ke gua Tsur dari malam mereka keluar. Nabi meninggal pesan kepada Ali supaya menyerahkan semua harta yang diamanahkan Baginda menyimpannya. Kepada Ali dipesan juga tempat pertemuan Baginda sebelum memasuki Yathrib iaitu di Quba.

Pada siri penghijrahan kedua, beberapa Muslimin menyertai Ali. Hanya Umar al-Khattab berhijrah pada waktu siang sambil mengisytiharkan hijrahnya. Kata Ustaz Don, “Nabi tidak pernah tinggalkan orang-orangnya di belakang. Strategi seperti ini menjamin keselamatan kaum Muslimin yang berhijrah.” Maka pada akhir zaman ini, apakah kita ingin menjadi seorang yang strategis dalam mengembangkan Islam atau sebaliknya? Apakah kita hari ini akan menjadi sebahagian daripada mereka yang menyokong perkembangan Islam atau sebaliknya? Islam tidak akan tertegak dengan logik akal semata-mata. Sebagai muslim kita perlu yakin dengan bantuan Allah setelah kita melakukan usaha ke arah kecemerlangan Islam itu sendiri. Usah kita takut dengan momokan huru hara jika Islam memerintah.

Kuliah diakhiri dengan membaca ayat 40 surah At-Taubah. Mafhumnya, “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

[Rumusan Kuliah Dhuha, Ustaz Don. Masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi. 7 Dis 2012, 8.30 – 10.30 pagi]

Kongsi artikel ini..Share on Facebook1Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *