0

Pergi ke Menara PERKESO

Saya diminta ke Menara PERKESO, tempat salah satu projek syarikat bagi Sistem Pengurusan Sumber Manusia (eHR). Menara PERKESO terletak di Jalan Ampang. Saya berada di Bandar Baru Bangi. Memikirkan situasi di Jalan Ampang, dan jaraknya yang agak jauh – saya memilih untuk menggunakan pengangkutan awam. Carian melalui enjin carian Google dengan kata kunci ‘bagaimana ke pergi ke menara perkeso’ atau ‘perkhidmatan awam ke Menara Perkeso’, laluan yang boleh saya lalui adalah UKM (KTMB) – Bandar Tasik Selatan (BTS). Kemudian BTS – Masjid Jamik – Dato’ Keramat menggunakan elarti. Kemudian dari stesen LRT Dato’ Keramat ke Menara PERKESO dengan menaiki bas T333. Saya tidak menemui laluan lain kerana rakan sekerja tidak pasti. Orang yang saya rujuk menaiki kenderaan sendiri ke Jalan Ampang. Melalui beliau saya dapat tahu sukar untuk mendapat parkir, sehingga suatu hari disaman kerana meletak kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Hari pertama tiada pilihan. Bermula dari stesen Komuter UKM jam 7.15 pagi, saya tiba di Menara PERKESO agak lewat. Meski tiba jam 8.40 di stesen Dato’ Keramat bas hanya bergerak pada jam 9.00 pagi. Laluan pertama ini memerlukan saya bertukar tren sebanyak dua kali, iaitu di BTS dan Masjid Jamek. Tiba di Masjid Jamik, terpaksa berjalan pula dalam jarak yang agak jauh untuk ke laluan Kelana Jaya. Semasa dalam bas, saya perasan laluannya melalui stesen LRT Jelatek. Jaraknya kira-kira 500 meter dari Menara PERKESO. Suatu hari saya dengar seseorang yang berdiri di sebelah saya dalam tren komuter berkata, “KTM kena tambah satu atau dua koc lagi. KTM tidak perlu sangat fikir untuk membuat untung.” Setiap pagi, saya tidak dapat tempat duduk dan bersesak-sesak sehingga tidak perlu berpegang pada tiang. Macam sardin (waktu puncak / peak hour).

Hari pertama memang memenatkan. Tiada pilihan. Saya pernah menonton video. Kandungan video tersebut menyampaikan mesej seperti ini – kali pertama adalah keterpaksaan, manakala kali kedua adalah pilihan. Saya kaji laluan dalam rangkaian bersepadu pengangkutan awam antara KTMB dan RapidKL ini. Saya dapati terdapat pilihan bagi saya membuat pertukaran hanya sekali iaitu di KL Sentral. Pilihan kedua ini agak ekstrem kerana saya memilih untuk berjalan kaki dari stesen LRT Jelatek ke Menara PERKESO. Maka pada hari kedua, laluan yang saya pilih ialah UKM – KL Sentral (Komuter) dan KL Sentral – Jelatek (laluan Kelana Jaya). Berikut adalah analisa kos untuk kedua-dua laluan ini.

Nama Perkhidmatan Destinasi Kos (RM)
Komuter KTM UKM – BTS 1.80
LRT RapidKL BTS – Masjid Jamek – Dato’ Keramat 4.20
Bas RapidKL Dato’ Keramat – Menara PERKESO 0.80
Subtotal sehala 6.80
Total dua hala 13.60
Masa perjalanan (pagi) 7.15 – 9.15

Jadual 1: Laluan hari pertama ke Menara PERKESO

Nama Perkhidmatan Destinasi Kos (RM)
Komuter KTM UKM – KL Sentral 4.20
LRT RapidKL KL Sentral – Jelatek 2.60
Subtotal sehala 6.80
Total dua hala 13.60
Masa perjalanan (pagi) 7.15 – 8.15

Jadual 2: Laluan hari kedua dan berikutnya ke Menara PERKESO

Berdasar analisa kos dan masa di atas, saya berupaya memilih laluan terbaik dengan mengurangkan masa menunggu. Tentunya memberi kesan kepada masa masuk kerja iaitu pada jam 8.30 pagi.

Cabaran menaiki pengangkutan awam ini selain daripada bersesak-sesak pada waktu puncak ialah kerosakan sistem. Suatu hari, sistem pendingin hawa LRT tidak berfungsi. Kejadian berlaku sebelah petang. Selain itu, terdapat juga kes kerosakan mesin TnG. Penumpang yang menggunakan kad TnG terpaksa beratur panjang untuk membayar secara tunai di kaunter. Pengalaman yang saya lalui ialah beratur selama 30 minit untuk membuat bayaran di kaunter stesen komuter UKM. (Bertambah letih berdiri dalam tren). Harapnya hari yang malang ini tidak berulang lagi.

Bagi menggalakkan penggunaan transaksi elektronik, KTMB dan RapidKL mengenakan harga yang berbeza. Sebagai contoh, bayaran tunai untuk bas RM1.00 (80 sen – menggunakan kad), Ampang Park – Masjid Jamik RM3.00 (RM2.60 – kad). Transaksi perjalanan menggunakan kad TnG adalah seperti di bawah. Pengguna perlu daftar akaun pengguna melalui laman web rasmi TouchNGo untuk mendapat penyata bagi tujuan tuntutan elaun perjalanan. Hal ini memudahkan, tetapi ada ketikanya rekod perjalanan tidak direkodkan. Cuba bandingkan Rajah 1 di atas dengan Jadual 1. Rekod perjalanan dengan bas tiada. Di mana silapnya? Membuat tuntutan elaun perlu dokumentasi / bukti bayaran yang lengkap. Jika tiada, kita boleh berfikir untuk mengabaikannya. Anggap sahaja belanja itu sebagai belanja hangus. Kawan saya kata, “Kita niat sedekah pada kompeni.”

Rajah 1: Contoh transaksi kad Touch and Go (TnG)

Rajah 1: Contoh transaksi kad Touch and Go (TnG)

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *