0

Penggiat dunia

Pagi tadi saya diceritakan sebuah syarikat dalam industri IT berstatus MSC menghadapi masalah. Khabarnya firma tersebut tidak berupaya membayar elaun staf. Maka keluarlah kata-kata ini dari pelapor, “Kawan saya itu memang sudah hantar surat peletakan jawatan.” Mungkin sebahagian orang mempunyai cerita lain, misalnya terpaksa bekerja dari rumah kerana sudah tidak memiliki wang sebelum gaji berikutnya. Dalam satu kes yang saya dengar, “Elaun sebelumnya akan dimasukkan dalam elaun akan datang. Tetapi perbelanjaan bulanan aku memang bergantung pada elaun.” Menurut cerita orang kedua ini lagi, “Duit gaji asas aku cukup untuk bayar hutang hangus dan insurans. Itu pun terpaksa sekat separuh belanja untuk isteri.” Maka pada pendapat saya tidaklah menjadi tindakan keterlaluan bagi kawan pencerita pertama dan narator kedua ini mengambil keputusan berubah angin. Satu-satu cara untuk menikmati kenaikan gaji dengan cepat adalah lompat kerja. Demikian yang dilakukan oleh mana-mana pekerja syarikat swasta.

Dua hari lepas adalah waktu paling lama saya bekerja. Masuk pejabat jam 7.30 pagi. Pulang jam 4.30 petang tepat keesokannya. Saya hanya tidur antara jam 3.30 hingga 6.15 pagi. Usai solat Subuh sambung lelap seketika hingga jam 7.30 pagi. Beginilah kerja orang-orang yang penting duniawi seperti saya. Sedikit sebanyak saya kesal apabila hadapi situasi ini. Betapa ini suatu kerugian. Meminjam kata-kata Asy-Sayhid Hassan Al-Banna, “Kita punyai waktu sedikit untuk melakukan kerja banyak.” Tetapi sejauh mana hayat dunia ini berbanding akhirat sana? Waktu adalah ruang. Kata seorang ustaz, “Kerja ini kalau dilayan sampai bila-bila pun tidak habis. Ruangkan sedikit waktu berdamping dengan Rabb.” Maksud ustaz itu damping dalam erti kata berkhudwah menghadapinya. Bukan melakukan aktiviti lain yang dikategorikan ibadah umum seperti memugar survival keluarga dan diri. Waktu menjadi panjang bagi orang yang pandai memanfaatkannya. Waktu jadi singkat bagi yang lalai. Kata isteri saya, “Kalau tidur banyak, sia-sia waktu itu. Jadi usah banyak tidur.” Saya akui pesan isteri membekas dalam diri. Cuma kadang-kadang saya langgar jua kalau terlalu bosan atau letih. Dunia. Oh, dunia. “Jangan sampai engkau lupa bahagianmu di sana.”

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *