0

Pak Uteh main saham

Mak Uteh lihat Pak Uteh merenung panjang. Suasana sunyi kecuali desir angin dari pucuk sawit muda. Mak Uteh gamatkan suasana dengan dendangan lagu, “Duhai kekanda kurasa sayu mengapa kau begini. Duhai kekanda usah membisu mengapa kau bersedih?”

“Duhai adik kau tak mengerti mengapa ku begini… Ku tekenang kisah silam memori indah bersama…” sahut Pak Uteh.

“Ah. Teh ni, ada-ada sahaja. Lihat pucuk muda sawit itu.” Pak Uteh hala telunjuk pada pucuk pohon sawit muda separas kepalanya.

“Apa maknanya?” tanya Mak Uteh.
“Maknanya kita terpaksa tunggu setahun lebih lagi untuk kutip hasilnya.” Jawab Pak Uteh.

Mak Uteh sentiasa menemani Pak Uteh ke ladang sejak sebahagian anak-anaknya melangkah kedewasaan. Tambah-tambah lagi kudrat Pak Uteh tidak segagah zaman mudanya dua puluh lapan tahun dahulu. Meski anak-anak ada yang sudah bekerja, masing-masing sudah punya keluarga sendiri. Pak Uteh dan Mak Uteh tidak pernah mensyaratkan sekian banyak wang yang perlu disumbang kepada mereka setiap bulan. Mereka terima seadanya. Mak Uteh ingat pesan suaminya, “Usah didesak sangat anak-anak beri duit. Abang tak perlu bagi mereka tekanan. Terpulang pada mereka hendak beri berapa pun setiap bulan. Jika ada Teh ambil. Jika tiada, Teh diamkan saja. Selagi abang ada kudrat, abang akan kerja.”
Angin semakin galak membibit lagu alam. Bunyinya seperti tiupan serunai.

“Entahlah Teh. Abang fikirkan kaedah bayaran pinjaman bank tempoh hari. Ketika mereka beria-ia mahukan kami tandantangan surat, katanya saham itu diberi percuma.” Pak Uteh alih bekas makanan kosong ke dalam bakul.  

Mak Uteh hairan. Sejak berkahwin dengan Pak Uteh, tidak pernah suaminya diberi pinjaman oleh bank. Ada-ada sahaja alasan pegawai bank yang menangani permohonan Pak Uteh. Tiada penyata gaji. Tiada caruman KWSP. Tiada pendapatan tetap. Risiko pinjaman tinggi dengan keupayaan bayaran balik yang membebankan. Macam-macam lagi dalih pihak bank. Alih-alih Pak Uteh hanya bersandar pada simpanan wang yang sedikit dari rejim penjimatan setiap bulan. Pak Uteh simpan RM100 setiap bulan dalam unit amanah saham. Setiap tahun hanya sekali Pak Uteh keluarkan hasil dividen unit amanah saham tersebut. Lebih daripada itu, Pak Uteh tidak pernah usik.

“Berapa bayaran bulanannya?” soal Mak Uteh.
“Hampir separuh dari duit saraan bulanan pengelola Tanah Rancangan ini. Jika bulan-bulan tiada potongan tetap selenggara ladang dan ansuran pinjamaan dari saraan ini…” Keluh Pak Uteh tersekat entah di mana.

Setahu Mak Uteh, dalam skim penanaman semula sawit setiap peserta diwajibkan menerima pinjaman pengurusan Tanah Rancangan (TR). Beberapa orang yang mahu berdikari diugut akan dinafikan hak menjual buah tandan segar ke kilang milik anak syarikat Tanah Rancangan. Apabila mereka akur, mereka terpaksa ikut jadual bayaran ansuran pinjaman pembiayaan sara hidup selama tiga tahun. Kos selenggara ladang juga dipotong dan dicaj dari pinjaman tersebut. Selenggara ladang diberi pada kontraktor yang dilantik. Tolak semua, setiap peserta Tanah Rancangan seperti Pak Uteh tinggal 60 peratus duit sara hidup. Itu kisah sebelum timbul cerita saham ini. Dengan wang itulah mereka biaya makan minum, sakit demam anak-anak dan wang pendidikan. “Kita hendak makan apa jika wang belanja tinggal 10 peratus?”

Mak Uteh sudah mangli. Nasib menyebelahi mereka saat ini. Tika musim buka sekolah, dia pajakkan gelang emas di Ar-Rahnu. Legalah Pak Uteh tidak perlu berhabis lebih banyak wang. Dapatlah mereka daftarkan empat orang anak yang masih bersekolah. Tetapi pajakan itu pun perlu dibayarnya setiap bulan selama enam bulan. “Sejak kita bersusah-susah sehingga kini, Teh tak pernah lihat abang sesedih ini. Apa Teh tidak tahu sesuatu?”

“Teh, sejak abang pugar kehidupan kita anak beranak, abang tak pernah fikir soal seperti yang sedang melanda. Khabarnya sebahagian saham Tanah Rancangan kita dimiliki syarikat judi. Jika saham bercampur-campur antara sumber halal dan haram begitu, apakah nantinya dividen yang akan diberi juga halal?”

“Entahlah. Teh tidak pandai bab ini. Entah bagaimana manis janji pihak penaja sebelum saham diapungkan? Apakah sekadar menanam tebu di bibir? Mana lesapnya patuh syariah?” Mak Uteh letak bakul dalam raga kapcai buruk Pak Uteh di sisi. “Teh tidak pasti sama seperti Teh tidak faham bagaimana peniaga boleh menyerap kenaikan harga barangan bila petrol naik harga 30 sen.”

“Mereka yang di luar sana tidak boleh samaratakan orang-orang seperti kita sebagai orang kurang bijak. Mereka cemuh kami otak udang. Tidak berpelajaran. Kami sebenarnya diperdaya, dikelirukan malah dipaksa. Bukan tiada mereka yang tahu pemberian saham itu bukan percuma tidak mahu membuat pinjaman. Bukan tiada! Tetapi mereka juga dipaksa tandangan perjanjian yang entah apa-apa dengan tergesa-gesa.” Rona merah semakin menebal di wajah Pak Uteh.

Angin masih berpuput perlahan-lahan. Sejuknya semacam mahu membekukan bara. Marah yang menggelegak dalam dada Pak Uteh. “Haram jadah!” Pak Uteh takik batang senduduk sebesar ibu jari kaki di tepi jalan. Senduduk itu rebah menyembah bumi. Kedengaran riuh ungka dan wak-wak terkejutkan jerkahan Pak Uteh.

Mak Uteh urut dada. Dia pun tergamam. Dia lihat seutas rantai pemberian arwah ibunya. “Abang, Teh rela kalau ini digalang ganti untuk bayar semua pinjaman sekali gus. Abang janji akan sedaya upaya tebus semula rantai ini, ya?” Matanya lirih melawan mata Pak Uteh.
*** ***

Sebulan kemudian.

“Teh, abang sudah tebus semula.” Mak Uteh menangis kegembiraan. Dia terharu kerana pusaka arwah ibunya tidak terlepas dari genggaman.

“Bagaimana abang ikhtiarkan?”

“Abang jual semua saham TR tanpa ambil sebarang untung. Abang tidak rela suap yang syubhah dalam mulut Teh dan anak-anak.”

Mak Uteh belek akhbar. Begitu kegemaran Pak Uteh setiap kali ke pekan. Dia baca sebaris berita, “Saham TR jatuh sepuluh peratus lagi dari aras pengenalan.” Mak Uteh tidak tahu atau ambil peduli jatuh naik harga saham. Maklum sahaja dia bukan berpelajaran tinggi seperti pegawai-pegawai TR yang bijak mendayakan mereka. ‘Oh, suamiku terkena percikan kerugian itu juga!’ bisiknya perlahan.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook4Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *