0

Musibah

Al-Baqarah 155 - 156

Al-Baqarah 155 – 156

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. (Al-Baqarah:155-156)

Terdapat jenis musibah iaitu:

  1. Mushibat al-Balaa
  2. Mushibat al-Jazaaa
  3. Mushibat al-Tarbiyyah

Setiap manusia diuji dengan ketakutan, kelaparan, berkurangan harta benda dan nyawa. Kefahaman orang awam adalah semua musibah adalah bala. Semua bala adalah musibah. Walhal pada hakikat, tidak semua musibah adalah bala. Bentuk musibah pertama, diceritakan dalam ayat lain yang bermaksud, “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya….” (Al-Baqarah: 124). Nabi Ibrahim diuji dengan anaknya Ismail. Suatu hari ketika Ismail mencapai usia baligh, Ibrahim ‘alaihissalam bermimpi menyembelih anaknya. Firman Allah yang bermaksud, “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” (As-Saaffat: 102).

Kedua, mushibat al-Jazaa iaitu musibah yang berupa pembalasan. Firman Allah yang bermaksud, “(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka) (6) Iaitu penduduk “Iram” yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya) (7) Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)? (8) Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)? (9) Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (10) (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). (11) Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. (12) Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab;” (Al-Fajr: 6-12)

Umat zaman dahulu dibalas oleh Allah dengan cara menghapuskan keseluruhan bangsa. Penduduk ‘Iram adalah bangsa yang menjadi tunggak, tempat bergantung bangsa lain pada zamannya. Mereka mempunyai teknologi menarah bukit dan gunung untuk dijadikan rumah. Demikian juga ketinggian tamadun Thamud. Umat nabi Soleh ‘alaihissalam diuji dengan seekor unta yang menjadi mukjizat kenabian. Suatu hari nabi Soleh menunjukkan mukjizat kepada kaumnya dengan mengeluarkan unta betina dari batu. Kemudian Allah menguji kaum Thamud dengan unta tersebut. Mereka perlu bergilir-gilir dengan unta tersebut menggunakan air dari telaga. Pada hari unta tersebut minum, mereka tidak boleh mengambil air dari telaga. Tetapi kaum Thamud ingkar dan menyembelih unta tersebut. Mereka memakan daging unta tersebut. Pada hari pertama selepas memakannya, muka mereka menjadi kuning. Pada hari kedua bertukar menjadi merah. Pada hari ketika wajah mereka menjadi hitam, dan Allah datangkan suara yang kuat sehingga mereka hancur seperti daun kering ditiup angin.

Fir’aun disebut oleh Allah sebagai dzi al-Autaad iaitu seorang raja yang mempunyai dokongan yang kuat. Ketika dicabar untuk perlihatkan kebenaran, seramai 30 000 ribu ahli Sihir Firaun melawan Nabi Musa. Sesetengah ulama tafsir, mengatakan ada 70 000 ahli Sihir yang berlawan dengan Nabi Musa. Manakala ketika nabi Musa diusir dari Mesir, dikatakan tentera Firaun yang mengejarnya seramai satu juta. Kisahnya diceritakan seperti berikut – “Lalu (diperintahkan kepadanya): Bawalah hamba-hambaku (pengikut-pengikutmu) keluar pada waktu malam, kerana sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan orang-orangnya). Dan tinggalkanlah laut itu dalam keadaan tenang terbelah, kerana sesungguhnya mereka (yang mengejarmu itu) ialah tentera yang akan ditenggelamkan.” (Ad-Dukhaan: 23-24)

Umat akhir zaman, dengan berkat doa nabi Muhammad tidak dibinasakan seperti umat terdahulu. Jika datang suatu bencana yang memusnahkan, ia didatangkan pada sesetengah tempat sedangkan tempat lain tidak dimusnahkan. Seandainya azab itu disegerakan di dunia, nescaya sudah tiada lagi kehidupan lantaran dosa-dosa yang dilakukan.

Kehidupan dan kematian adalah ujian Allah. Bagaimana kita menghadapi ujian-ujian tersebut? Adakah kita kembali kepada Allah atau sebaliknya? Demikian musibah yang ketiga iaitu berupa ujian Allah sebagai bentuk pendidikan. Allah mahu didik, mahu asuh manusia supaya sedar diri. Setelah mengakui kebesaran dan kekuasaan Allah, mudah-mudahan musibah tersebut mengembalikan mereka kepada Allah. Mengakui kerdil dan lemahnya diri sebagai manusia. Maksudnya mereka kembali patuh kepada Allah. Mereka menjadi orang-orang berkata, “Kami milik Allah dan kepada Allah kami kembali.”

Doa ketika ditimpa musibah:

Doa ditimpa musibah

Doa ditimpa musibah

Doa ini diajar oleh nabi kepada Ummu Salamah ketika dia kematian suaminya.

Nota kuliah Subuh, Ustaz Raihan Bin Abdul Aziz, Surau As-Sumayyah, Intana Ria, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. 16 Mac 2014.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook5Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *