0

Mengenang umat Islam ditindas

Barangkali benar telahan seseorang bahawa sesuatu yang menggembirakan akan melenyapkan kesedihan. Apakah ini akan berlaku jika gembira dan sedih itu milik dua jiwa atau lebih? Jika hal yang menggembirakan berlaku kepada satu orang sahaja, mungkin kesedihannya sahaja pada waktu sama akan lenyap seketika. Lihat sahaja anak kecil yang terjatuh lalu dia menangis. Akan apakah dilakukan ibu bagi memujuknya? Mungkin si ibu dengan belas kasihan memberikan si anak belaian. Digosoknya tempat yang disangka sakit. Maka lenyaplah seketika kesedihan si anak tatkala dia berhenti ongkah-angkih dan senyum kembali.

Ada suatu yang menggembirakan satu pihak tetapi ramai yang berduka. Menurut seorang wartawan MerdekaReview, syarikat yang menawarkan hadiah lumayan sempena temasya olimpik menjalankan aktiviti di Raub menggunakan cyanide. Cyanide bahan kimia yang menyebabkan penceramaran alam. Dia judulkan makalahnya, “Emas bukan segala-galanya”. Dalam banyak hal kita mendapati mana-mana tempat akan berlaku konflik. Iaitu sesuatu yang dimanfaatkan sekelompok manusia akan menjejaskan kelompok yang lain. Ramadhan tahun ini dicemari dengan tragedi genosid di Myammar. Akan apakah nasib mereka yang sekian lama tidak diiktiraf oleh pemerintah? Mereka dikatakan tidak termasuk dalam 130 etnik asal Burma. Apakah OIC memiliki kekuatan untuk perjuangkan keadilan bagi mereka?

Bagi mereka, melalui UNCHR Malaysia memberi suaka politik dengan ruang menghirup udara di sini. Dua tahun lalu, saya pernah mengunjungi asrama anak-anak yatim Rohingya di Selayang. Khabarnya salah satu syarikat subsidari majikan saya akan menziarahi mereka sekali lagi dalam program khidmat sosial korporat (CSR). Melihatkan keadaan mereka, rasanya mereka antara yang bertuah kerana mendapat keamanan. Dan mereka mendapat akses pendidikan paling minimum seperti mana anak-anak bangsa asing (bukan warganegara) yang berada di sini. Tetapi bagaimana jika ketika ini mereka di sana? Apakah mereka akan terus hidup di celah amukan kaum yang mengganasi mereka? Ia sudah menjadi kitaran kompleks kerana melibatkan perbalahan agama. Dunia hanya memandang. Ada yang simpati dan ada yang sebaliknya.

Semoga Ramadhan tahun ini menjadi saksi kepada saudara muslim kita yang jauh di seluruh dunia yang ditindas. Semoga kedatangan Syawal akan memberi sedikit makna buat mereka meski dihimpit kesedihan. Dan kita mungkin akan bertanya, “Apakah ada cahaya Syawal di Palestin, Syiria, Rakhine dan tempat umat Islam ditindas?”

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *