0

Menerima nasihat itu susah

“Wahai anakku yang disayangi, memberi nasihat itu mudah. Tetapi menerima nasihat itu susah kerana kebanyakan orang suka mengikut nafsu.” (Imam al-Ghazali[1])

Dalam tasawwuf, nasihat diertikan sebagai iraadatu al-khair li ghairi iaitu ‘berkehendak akan kebaikan kepada yang lain’. Jaafar Bin Maghram pernah diminta nasihat oleh Maimun, “Berilah kepadaku nasihat apa yang aku tidak suka.” Hal ini bermakna nasihat yang baik berbentuk teguran yang akan menyebabkan penambahbaikan (islah) kepada sesuatu perkara yang dilihat pincang. Tentu sahaja nasihat seperti ini amat berat untuk diterima oleh orang yang mendewakan nafsu dalam dirinya.

Diri manusia ada seketul daging dipanggil al-qalb (hati). Tasawwuf mengatakan hati sebagai shoohib al-qaraar. Apa itu shoohib al-qaraar? Setiap diri memiliki sisi baik dan buruk. Yang baik adalah akal. Akal dibantu ilmu syariat. Yang buruk adalah nafsu. Nafsu disokong iblis dan syaitan. Hatilah yang mengendali sesuatu tindakan manusia setelah menilai kehendak akal dan nafsu. Apabila akal tidak dikalahkan nafsu, maka perkara baik akan diputuskan oleh hati. Baiklah natijah tindakan seseorang. Tetapi sebaliknya jika kem nafsu dan syaitan beraja, natijahnya jahatlah tindakan seseorang.

Justeru disebabkan manusia lebih cenderung mengikut nafsu, hendaklah dia mendidik nafsu. Bagimana hendak didik nafsu? Mendidik nafsu bermula dengan maqam taubat, sebelum berpindah kepada maqam khauf dan raja, seterusnya maqam qana’ah dan maqam yang lebih tinggi. Maqam taubat ini ialah kembali kepada Allah dengan bertadzallul di hadapan Allah. Tadzallul ertinya menghina diri dalam munajat kita kepada Allah dengan menyatakan semua dosa yang pernah dilakukan. Ada kisah ulama silam duduk dalam maqam taubat ini bertahun-tahun lamanya.

Apakah kesan maqam taubat? Bagaimana kita hendak tahu maqam taubat telah dicapai? Jawabnya apabila kita merasa benci jika melihat maksiat. Jika kita masih suka melihat maksiat, maknanya maqam taubat belum kita lulus.

Nota.

[1] Kitab Ayyuha al-Walad, Imam al-Ghazali. Kuliah Maghrib Uts. Noor Hafizi, 9 November 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *