0

Lama tidak bercerita

Sudah lama tidak berblog. Ini blog lama saya. Suatu hari akaun Google saya dilanda semacam serangan penggodam. Khabarnya melalui satu pautan ketika log masuk begini: We found somebody trying to access your account from Russia (Kami mendapati akaun anda cuba diakses dari Rusia). Saya klik pautan tersebut untuk menukar kata laluan. Kemudian semuanya berakhir. Berakhir selepas hampir 72 jam saya gagal mendapat semula kata laluan meski sudah menghantar surat rasmi kepada Pasukan Google Malaysia. Saya fikir jika pasukan teknikal ini tidak dapat membantu, bermakna tiada apa lagi pilihan melainkan jika saya membuka akaun Google baharu.
Sedar tidak sedar, anak pertama semakin membesar. tetapi setiap hari zikirnya, “Baba…baba….” Apabila saya dengar ceritanya daripada isteri menjadikan saya sebak. Terbersit rasa hiba mengenangkan keadaan ketika ini. Maklum sahaja kami berjauhan kerana masing-masing bekerja di tempat berbeza. Sudah tiba masanya saya memikirkan (dan memang saya sentiasa fikirkannya) untuk mengambil risiko mendapatkan kerja yang gajinya lebih kecil daripada sekarang. Suatu perkara yang sering menjadi tanda tanya saya, “Mengapa majikan sering menggunakan hujah Terengganu murah. Makanan murah. Kos sara hidup murah.” Tidakkah mereka baca laporan ekonomi mengatakan kos sara hidup di Kuala Terengganu kedua tertinggi? Dan saya pun semacam sasau mengulang perkara ini berkali-kali. Apakah kita masih di abad lama? Tetapi mengapa pula saya tidak kuat untuk mengharapkan isteri kerja di Pantai Barat? Semua disebabkan milieu. Kami sepakat bahawa anak kami tidak harus didedah kepada hawa bandar raya sesibuk KL. Biarlah si kecil itu membesar dalam suasana tradisi yang jauh lebih aman dan nyaman dengan bi’ah solehahnya.
        Seorang sahabat yang tahu keadaan saya cuba menguatkan, “Kawan saya pernah enam tahun duduk berjauhan ketika awal-awal dia berkahwin.” Dan saya pasti tidak mahu seperti itu. Sasaran saya ialah kembali kerja di Kuala Terengganu sebelum anak kami berusia dua tahun. Bermakna saya ada 14 bulan lagi bagi mencapai sasaran ini. Ya, doakan semoga saya diberi kemudahan. Jumpa lain waktu.
Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *