0

Kisah Saad Bin Abi Waqash

Khatib memulakan inti khutbah yang berbunyi, “Marilah kita sama-sama mendengar dan mengambil pengajaran dari satu hadis.” Lalu dia membaca sebuah hadis panjang berkenaan tuduhan yang dilemparkan kepada seorang sahabat bernama Sa’ad bin Abi Waqash. Suatu hari ketika Sa’ad menjadi Gabenor di negeri Kufah, Usamah bin Qatadah melaporkan kepada Umar al-Khattab tentang beliau. Kata Usamah, “Dia tidak berhukum dengan adil. Apabila membahagi ghanimah, dia tidak berlaku adil. Jika dia menjadi imam, dia tidak solat seperti solat nabi.”

Lalu Umar al-Khattab menghantar pegawai untuk menyiasat Saad Bin Abi Waqash. Pegawai yang dihantar mengatakan, “Setiap masjid yang kami kunjungi mengatakan Sa’ad bersolat dengan betul seperti mana solat nabi.”

Demi mengenangkan dirinya difitnah, Saad berdoa, “Ya Allah, jika orang yang menfitnahku itu kerana riak, angkuh (sombong) dan ingin mendapat nama maka panjangkanlah umurnya, butakanlah matanya dan biarkanlah dia hidup dalam fitnah.”

Setelah lama kematian Saad Bin Abi Waqash, seorang sahabat berkata, “Aku lihat seorang tua dengan pelupuk matanya jatuh (sehingga apabila dia ingin melihat, terpaksa diangkat dengan tangannya). Dia duduk di tepi jalan sambil meminta sedekah. Apabila ada anak gadis lalu dihadapannya, dia mengganggunya.” Sahabat ini berkata lagi, “Aku pasti lelaki itulah yang didoakan Saad bin Abi Waqash dahulu.” 

Pada khutbah kedua khatib menyambung lagi, “Pengajaran dari hadis yang dibacakan tadi ialah orang yang dizalimi berhak mendoakan orang yang menzaliminya. Doa itu hendaklah atas dasar yang hak bukan batil kerana kepentingan diri.

“Disebabkan doa orang yang dizalimi makbul, marilah kita contohi akhlak nabi ketiba baginda dilempar batu ketika berdakwah ke Thaif. Jibrail datang menawarkan balasan segera dengan menghempap bukit ke atas mereka. Tetapi baginda berdoa: Ya Allah! Berilah petunjuk (hidayah) kepada kaumku, kerana sesungguhnya mereka jahil.”

Nota: Rumusan khutbah Jumaat, 28 Dis 2012, Masjid Pulau Meranti.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *