0

Kembara ilmu adindaku

Semalam adinda saya pulang awal ke kampus. Dia tiba jam 4.00 pagi di Hentian Putra. Mungkin dia lupa pesan saya, “Jika mahu balik kampus, beli tiket ke Kajang.” Lalu dia menghantar teks kepada saya. Teks itu hanya saya buka jam 5.30 pagi. Maka saya nyatakan akan mengambilnya di Hentian Putra selepas solat Subuh. Perjalanan 40 km dari Bangi ke Hentian Putra tidaklah menyusahkan kerana aliran trafik masih lancar. Saya bertolak jam 6.20 dan tiba jam 7.00. Jadual kerja saya adalah 7.30 sehingga 4.30 petang. “Tidak mengapa jika lewat masuk kerja?” soalnya. “Asal sahaja jam kerja cukup.” Lalu saya arahkan dia esemes ketua saya. “Katakan aku masuk lewat sedikit jam 8.00 pagi.” Dalam perjalanan pulang ke Bangi, saya menggunakan MEX bagi mengelak macet di Lebuhraya Persekutuan terutama sebelum memasuki Plaza Tol Sungai Besi. Jika melalui MEX, terpaksalah lalui dua tol. Ketika artikel ini ditulis, kadarnya masing-masing RM1.30 dan RM2.50. Jaraknya kira-kira 23 km. Disebabkan adinda saya tidak mahu saya lewat kerja, dia bersetuju untuk saya tidak terus menghantarnya ke UPM. Tambahan pula susur keluar Cyberjaya akan ditemui sebelum mana-mana lorong menghala ke Kajang/Bangi.

Saya terus menyusur Jalan Teknokrat 1 melepasi kampus Universiti Lim Kok Wing. Sebelum mengambil simpang kiri ke Jalan Teknokrat 2, terdapat satu selekoh pancung dengan sedikit kecerunan. Saya kurang arif sama ada kecerunan tersebut masih boleh diterima dalam ehwal kejuruteraan jalan atau sebaliknya. Terdapat tanda amaran tengkorak memegang stereng berlabel, ‘Awas. Kawasan Kemalangan!’ – lalu saya perlahankan kenderaan. Memang benar kawasan itu kawasan kemalangan. Kami lihat sebuah kereta terbabas dengan keempat-empat tayarnya ke atas (turn turtled). Dalam minda saya, ada persoalan. Apakah tidak boleh jika di selekoh pancung ini, diletakkan garinsan kuning atau ditambah bonggol sebelumnya? Saya nyatakan begini kerana satu selekoh bahaya serupa berhampiran kilang Pharmaniaga, Bangi ditambah bonggol. Dengan demikian, banyak kemalangan dapat dielakkan.

Kami tiba di tempat kerja saya jam 7.45 pagi. Awal 15 minit daripada jangkaan asal saya. Berbalik cerita adinda saya. Beliau datang awal bukan disebabkan fungsinya penyambut palajar baharu. Cuma dia perlu ke Universitas Pertanian Bogor sebagai mengikuti program pertukaran pelajar selama satu semester. Seramai 11 orang pelajar fakultinya memohon program tersebut. Mereka terdiri daripada seorang lelaki dan sepuluh perempuan. Tiga daripada pelajar perempuan adalah pelajar Cina. Adinda saya terpaksa ‘bersantai’ di pejabat sehingga jam 5.00 petang. Dan pada 1 Sept 2012, saya akan menghantar beliau ke LCCT penerbangan jam 11.00 pagi. Selamat mengembara dalam kembara ilmu adindaku! Semoga pulang nanti menjadi manusia yang berguna dalam bidangmu.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *