0

Keadilan Islam dalam kes Zulkifli

diyat

“Saya diminta memberi komen terhadap kes Zulkifli. Saya mengambil sikap tidak memberi sebarang komen sehingga saya membaca fakta kes.”

“Dalam kes Zulkifli, fakta kes tidak menyatakan pencuri masuk ke dalam rumah. Fakta kes menyatakan Zulkifli berada di gerai tempat beliau berniaga kira-kira 300 meter dari rumah. Isteri Zulkifli nampak motorsikal dinaiki oleh dua orang masuk ke lorong menghala ke rumah mereka. Kedua-duanya berada dalam keadaan mencurigakan. Salah seorang pencuri berdiri di tepi motorsikal, manakala seorang lagi mengumpil generator yang berada di luar rumah. Zulkifli datang dengan memegang pisau memotong daging lalu menyerang pencuri. Kedua-dua pencuri cedera. Salah seorang daripadanya cedera di bahagian bawah bahu, dan kemudiannya mati. Manakala seorang lagi yang cedera berjaya ke hospital dan ditahan (oleh polis).”

Kes Zulkifli ini memang tidak lepas (beliau akan didakwa). Hal ini kerana beliau mempunyai ikhtiar seperti memanggil orang kampung untuk menangkap pencuri tersebut. Jika sekiranya pada ketika kejadian beliau tiada ikhtiar seperti pencuri berada di dalam rumah, pintu dikunci dan pencuri memiliki sesuatu yang boleh mengancam nyawa diri dan keluarganya – maka bolehlah dia mempertahankan diri. Sesuai dengan hadis nabi yang menjelaskan, sekiranya pencuri itu mati darahnya halal. Sebaliknya jika tuan rumah mati, dia mendapat pahala syahid.

“Fakta kes menyebut, Zulkifli tidak perasan sama ada pencuri memilik senjata atau tidak. Tidak dinyatakan situasi pencuri menyerang Zulkfili. Bermakna mungkin disebabkan rasa geram kerana kawasan tersebut sering berlaku kecurian, Zulkifli terus meluru ke arah pencuri dan menyerang mereka. Cuma saya tidak setuju dengan Akta 302 yang membawa hukuman gantung sampai mati kepada Zulkifli jika sabit kesalahan. Saya lebih bersetuju jika Akta 304 dikenakan, iaitu membunuh dengan tidak sengaja.

Akta 302 ini, peguam disediakan (dilantik dan dibayar oleh kerajaan). Jadi tidak perlulah ada usaha melalui Page FB untuk mengumpul wang bagi membiaya peguam bela beliau. Adalah lebih baik wang tersebut disumbang kepada keluarga Zulkifli kerana sejak direman isterinya tidak boleh berniaga seperti biasa kerana menjaga anak mereka yang sakit.

Bagaimana keadilan Islam dalam kes Zulkifli? Keadilan kepada Zulkifli dan pencuri tersebut. Dalam Hudud, mencuri hanya dikenakan hukum potong tangan, bukan bunuh. Jadi disebabkan situasi kes Zulkifli seperti yang disebut dalam fakta kes, maka saya beranggapan beliau tiada niat membunuh. Bermakna dalam perundangan Islam, beliau boleh dikenakan tuduhan membunuh dengan tidak sengaja. Tiada hukuman bunuh balas yang boleh dikenakan. Beliau hanya dikenakan hukuman diyat (denda). Dendanya berupa bayaran sebanyak seratus ekor unta. (Katakan) harga seratus ekor unta ketika ini RM1 juta, maka Zulkifli perlu membayar RM1 juta kepada keluarga si mati.

Timbul soalan, celah mana Zulkifli hendak cari wang satu juta? Beliau menjual nasi lemak sahaja. Bayaran tersebut perlu dibayar oleh ‘akilah beliau. Dalam Islam ‘akilah (waris) ada lima, iaitu waris dari kalangan keluarga bapa . Pertama, adik-beradik lelaki sebapa. Kedua, bapa saudara lelaki sebapa. Ketiga, datuk saudara (adik-beradik lelaki datuk) sebapa.” [Ini kelemahan ingatan saya. Tidak datang dalam ingatan dua lagi akilah – penulis].

“Katalah jika dari akilah pun tidak ada yang mampu membayar RM1 juta, maka diyat itu perlu dibayar oleh baitulmal. Duit baitulmal bukan duit Pusat Urusan Zakat (PUZ). Duit PUZ adalah untuk asnaf. Maka baitulmal perlu membayar diyat tersebut jika semua akilah Zulkifli tidak mampu membayar diyat tersebut.”

Inilah keadilan Islam dalam kes Zulkifli. Keadilan bagi kedua-dua mereka iaitu Zulkifli dan si mati.

Wallahu’alam.

Nota: Catatan kuliah Maghrib Masjid al-Hasanah, BB Bangi. 19 Jan 2016.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *