Siaran Radio Lewat Pagi

Tajuk Resensi: Menyelami acuan Kafkaesque dalam karya Haizir Othman

Judul: Kumpulan Cerpen Siaran Radio Lewat Pagi

ISBN: 9789670869810

Penulis: Haizir Othman

Penerbit: ITBM, 2015

Halaman: 109

siaranradio2

Kumpulan Cerpen Siaran Radio Lewat Pagi

APABILA saya bertanya kepada beliau, “Sejak bila kumpulan cerpen ini dimulakan?” Beliau menjawab, “Sejak musim pertama. Tetapi pada musim pertama dahulu jumlah karya belum cukup.” Karya ini memenangi Hadiah Sagu Hati Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2.

Membelek buku Kumpulan Cerpen Siaran Radio Lewat Pagi hasil garapan Haizir Othman (Haizir) membuatkan saya teringat pada Franz Kafka (Kafka). Pengkaji tulisan Kafka melabelkan gaya penulisan beliau sebagai ‘kafkaesque’. Menurut penulis biografi Kafka, Federick R. Karl, ‘kafkaesque’ merujuk kepada persembahan penulisan Kafka yang masuk ke alam surreal, penulis menentukan corak kawalan, sikap, dan olahan yang berbeza dengan cara pemikiran biasa manusia melihat alam.

Cerpen pertama berjudul Lelaki Tua dan Puak Berkepala Bendera sudah cukup mengesankan. Naratifnya bersahaja dengan unsur surealistik. Haizir bijak memanfaatkan ruang bagi merincikan latar cerita yang tidak mengheret pembaca melompat dari satu plot ke plot lain dengan cepat. Pembaca dapat menghayati hubungan watak dengan konflik yang merantai dirinya secara alami, tanpa perlu memaksa otak terlalu berat.

Dengan tangan kiri Si lelaki Tua memetik sebilah angin yang menuju ke wajahnya. Diamati angin panas itu dari bawah ke atas, dari atas ke bawah. “Angin ini seperti pernah muncul dalam salah satu daripada mimpi-mimpiku,” ucapnya perlahan. Dipatahkan dua angin itu sebelum dicampakkannya ke bawah. “Kelentinggg!!” bunyinya, pecah sejurus mencecah lantai gua. Sekeping serpihan angin yang pecah itu terpelanting jauh sebelum menusuk betis si Lelaki Tua. (halaman 2)

Pembaca yang jarang bertemu dengan cerita surealis boleh jadi terpaksa mengulang bacaan atau setidak-tidaknya mengeluh apabila menghabiskan bacaan satu-satu cerita. Menguatkan lagi analisis acuan Kafkaesque ini, Haizir menyelitkan nama dan karya agung Kafka secara tidak langsung dalam cerpen Jerad.

Selain teknik penceritaan, Haizir juga bijak bermain dengan perkataan. Susunan ayatnya ringkas, terdapat nilai puitik dalam baris cerita yang digarap. Perkara ini tidak menghairankan kerana beliau bermula dengan puisi sebelum cuba melebarkan wilayah penulisan dalam cerpen. Sebagai contoh – Kenangan ialah bunga api yang cemerlang pada waktu malam. Ia cantik, mempesona, dan mahal. Itu pun hanya jika kita melihatnya dari jauh, tidak tercedera akibat percikannya yang bisa membakar. (halaman 17)

Siaran Radio Lewat Pagi yang menjadi tonggak kumpulan cerpen Haizir berkisar kisah seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu keretapi. Lelaki ini dengan watak ‘Aku’ berkahwin dengan seorang budak berumur 10 tahun. Isterinya insan istimewa kerana fizikalnya tidak membesar seperti manusia normal. Dia mengalami sindrom growth disorder. Demi menyelamatkan keadaan budak perempuan yang ditemui Aku, dia mengahwininya dengan syarat berat. Mereka tidak akan melakukan hal seperti suami isteri yang lain sehingga budak perempuan tersebut berumur 20 tahun. Aku sebenarnya sangat setia dengan kerja sehingga boleh dianggap mempunyai hampir kesemua pengalaman kerja dalam bidang sokongan operasi keretapi. Bermula dari pemeriksa tiket, perkeranian, tukang sapu, sehinggalah menjadi seorang pemandu. Demikian setianya cinta Aku akan isterinya.

Suatu malam, Aku meluahkan isi hati kepada isterinya yang dipanggil Adik melalui siaran radio kegemaran mereka. Bermulalah Aku bercakap soal takdir, dan ujian hidup. Aku secara tidak langsung bercerita cabaran beristerikan manusia istimewa seperti Adik. Aku mengajak Adik agar sabar, dan reda. Meski luahan Aku tidak disokong oleh fakta saintifik, pembaca dapat memahami konflik yang bermain dalam jiwanya. Mengapa? Kebanyakan orang beraliran sains biasanya suka memadatkan karya dengan fakta sains. Tetapi Haizir berjaya mengelak daripada terjebak dalam konvensi ini.

Sebagai kesimpulan, kumpulan cerpen ini sangat menarik kerana sebahagian cerita diselitkan pemikiran Islamik penulisnya. Gaya penerapan nilai agama tidak diberatkan seperti khutbah. Kekuatan lainnya terletak pada aspek falsafah hidup yang diselitkan dalam karya.
Syabas pada Haizir!

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *