Sesegar Nailofar

Judul:: Sesegar Nailofar
Pengarang: Zaid Akhtar
ISBN: 9676112216
Penerbit: Utusan Distributor & Distributor Sdn. Bhd
Pengulas: Naimisa Yusof

Novel Sesegar (SN) tulisan Zaid Akhtar merupakan novel beliau yang pertama sebelum Rona Bosphorus. Kedua-dua karya beliau menggabungkan elemen-elemen sejarah, prinsip perjuangan dan cinta yang diolah dalam gaya yang tersendiri.

Novel SN memuatkan ketabahan seorang siswi yang begitu mengkagumi ketrampilan Iqbal sebagai presiden persatuan pelajar: PERMAI. Dalam gerak kerja dakwah, tidak boleh tidak perhubungan antara lelaki dan perempuan akan membibitkan rasa cinta di kalangan pendokongnya. Hal ini merupakan perkara biasa kerana itulah tanda kesempurnaan seorang manusia yang dianugerahkan Allah dengan fitrah sejak azali. Cinta, rasa kasih, ingin dikasihi dan disayangi merupakan sebahagian daripada nikmat dalam jutaan nikmat Allah.

Kekuatan tulisan saudara Zaid Akhtar boleh dilihat daripada pemilihan kata dan penyusunan plot cerita yang menarik. Novel SN tidak seperti Rona Bosphorus yang mengcakup isu semasa di Malaysia dan Mesir. Sebaliknya SN ditulis dengan hanya menumpukan peristiwa yang berkitar di bumi Arab. Teknik penulisan yang disusun secara kronologi peristiwa dan sekali-sekala menyelitkan unsur imbas kembali (flash back) memudahkan pembaca meneka urutan peristiwa yang akan berlaku dalam bab-bab berikutnya.

Selain itu watak utama yang ‘disorokkan’ di sebalik emel-emel rahsia cukup meberangsangkan kekuatan watak itu sendiri. Penulis berjaya mengumpan rasa ingin tahu pembaca untuk mencari nailofar yang sebenarnya. Hal ini kerana penyelitan beberapa keadaan atau peristiwa yang dicipta bagi ’mengelirukan’ pembaca membuat tekaan pada peringkat awal. Watak nailofar yang digarapkan oleh penulis berjaya mengupas persoalan sikap dan nilai cinta seorang wanita terhadap lelaki yang dikaguminya.

Sebaliknya, penulis juga berjaya menggarap sikap kebanyakan lelaki berada dalam kedudukan Iqbal yang bertindak selaku pemimpin persatuan pelajar. Betapa Iqbal cuba sedaya upaya mengelak daripada terjebak ke kancah percintaan, dia tidak dapat mengelaknya, kerana itu fitrah. Perbezaan yang cuba diketengahkan oleh penulis ialah cinta suci murni itu berjalan dalam bi’ah solehah. Adab dan akhlak percintaan masih cuba dipertahankan oleh kedua-dua watak utama iaitu Iqbal dan Nur Hazwani @ Nailofar.

Persoalan Nilai dalam SN.

Saya suka menarik pemikiran pembaca komentar ini terhadap isu cinta di kalangan pendokong gerakan dakwah. Coretan “Cinta anta anti” dalam majalah I (Feb 2006) sedikit sebanyak mempengaruhi tulisan ini. Memang tidak dinafikan bahawa perkara ini berlaku tetapi persoalannya sejauh mana teruknya krisis cinta ini berbanding nilai cinta yang biasa? Tidak dinafikan dek kerana tidak memndapat cinta, obor perjuangan dakwah seorang pendokong gerakan dakwah menjadi malap. Atau ada juga di kalangan pendokong gerakan dakwah yang terlalu terikut-ikut dengan persekitaran dan budaya setempat sehingga memberi fitnah kepada perjuangan gerakan dakwah. Maknanya apabila orang-orang yang menjadi pendokong dakwah tidak menjaga adab dan akhlak Islam, dengan sendirinya orang-orang yang berada di luar tidak menghormati gerak kerja dakwah yang dilakukan.

Persoalan nilai dan etika percintaan inilah yang cuba dinyatakan oleh saudara Zaid Akhtar dalam SN. Beliau telah berjaya merungkai persoalan sikap seorang pendakwah dalam menangani masalah cinta. Cinta yang tidak disertai keutamaan untuk mencari redha Allah akan merosakkan manusia. Saat-saat getir Iqbal menerima surat terakhir daripada Salsabila merupakan contoh terbaik. Penulis berupaya ‘mengeluarkan’ kemelut jiwa Iqbal atau rawatan paling baik dalam menangani masalah hati ini dalam kerangka seorang yang beriman. Begitu juga tatkala pertemuan demi pertemuan di antara Iqbal dan Nur Hazwani juga dipaparkan dalam suasana yang baik.

Persoalan tentang perkahwinan tidak boleh diambil mudah. Berkahwin bererti sedia berkongsi kesusahan, kesenangan, suka dan duka. Kahwin bukan sekadar menyemai dan menyubur kasih sayang, tetapi juga menyemarakkan perjuangan. Apakah yang diperjuangkan dalam hidup? Agenda besar yang diperjuangkan mestilah mendapat sokongan pasangan terapat iaitu suami atau isteri. Justeru amat perlu mencari pasangan yang mempunyai fikrah yang sama. Kesatuan fikrah di antara pasangan suami isteri membolehkan ahli-ahli gerakan Islam terus bergerak aktif dalam medan dakwah kerana masing-masing memahami fungsi dan tanggungjawab.

Hal ini bermakna:

  1. Apabila berlaku sebaliknya iaitu salah satu daripada pasangan suami isteri tidak mempunyai kefahaman yang sama, kemungkinan untuk futhur (gugur dari medan dakwah) amat tinggi. (Al-Mutasaqituuna ‘alaa Thoriqi ad-Dakwah, Fathi Yakan)
  2. Sekiranya niat asal sebelum menemui pasangan ketika menyertai medan dakwah adalah semata-mata untuk mencari pasangan yang ideal, maka dibimbangi kegagalan menemui cinta tulus murni itu menjadikan ahli gerakan dakwah tawar hati untuk meneruskan dakwah.
  3. Sudah menjadi lumrah dalam gerakan dakwah menyediakan tahap-tahap pembentukan dan lorong bagi memastikan kesinambungan generasi melalui baitul muslim. Dengan agenda mewariskan genersi Islamis pada masa hadapan.
Kongsi artikel ini..Share on Facebook1Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *