Rentung

Judul: Rentung
Pengarang: Shahnon Ahmad
Penerbit: Teks Publishing Sdn. Bhd.
ISBN: 967946010-X
Cetakan: Pertama (1983)
Pengulas: Naimisa Yusof

Novel pertama SN Profesor Emiritus Shahnon Ahmad ini mengisahkan pergolakan masyarakat di Kampung Banggol Derdap, Kedah. Ia memaparkan kisah Semaun yang dipinggirkan oleh orang kampung akibat dendam. Dogol (watak antagonis) diamanahkan oleh penghulu (Pak Senik) mengagihkan lembu kerajaan kepada orang kampung. Namun Dogol tidak berlaku adil dengan tidak memberi hak kepada keluarga Pak Kasa, ayah Semaun.

Selepas daripada hal pengagihan lembu kerajaan, Pak Senik mahukan kesepakatan orang kampung untuk menjayakan projek penanaman padi dua kali semusim. Semua bantuan dibekalkan oleh kerajaan dengan syarat semua penduduk bersetuju. Sejak awal lagi Dogol telah menanam benih kebencian ahli mesyuarat kampung yang terdiri daripada Pak Senik, Tuk Imam, Lebai Debasa, Jusoh, selain dirinya sendiri. Semuanya berpunca daripada kes keting lembunya ditakik Semaun. Akibatnya semua ahli mesyuarat bersikap prejudis terhadap Semaun sehingga tidak berani meminta persetujuan daripada Semaun. Akhirnya Pak Senik sendiri terpaksa mendapat persetujuan Semaun.

Kunjungan Pak Senik ke rumah Semaun mendapat maklum balas yang negatif. Semaun tidak bersetuju kerana kuat mempertahankan adat turun-temurun nenek moyangnya. Menurut Semaun, tanah juga perlu dikasihani, tidak boleh dikerah seenaknya. Pak Senik sendiri menerima layanan buruk daripada Semaun. Namun Pak Senik tidak mengambil hati dengan kekasaran Semaun. Dia masih waras untuk menilai keganasan Semaun. Pada hematnya, Semaun menjadi ganas kerana dipaksa oleh keadaan (untuk menjadi ganas). Dalam ilmu psaikologi dipanggil keganasan terarah yang disebabkan oleh perasaan membuak-buak untuk mendapat keadilan ke atas diri sendiri.

Selepas beberapa hari kunjungan Pak Senik itu, Pak Kasa meninggal dunia. Pak Senik membantu semua urusan mengebumikan jenazah Pak Kasa. Hal ini menjadikan Semaun lembut hati dan meminta maaf. Sementara itu, Dogol membawa lembunya di hujung becah. Lembu itu dibaham harimau. Tanpa usul periksa Dogol menuduh Semaun menakik lembu-lembunya dan menjual dagingnya di pasar. Dia terus mengumpul orang kampung untuk mengajar Semaun. Dia mahu, membakar rumah Semaun. Malangnya kumpulan perusuh yang diketuai Dogol disambut oleh Pak Senik. Api kemarahan itu berjaya diredakan Pak Senik. Dia mengarahkan orang kampung mencari bangkai lembu di rimba. Akhirnya mereka bertemu bangkai lembu yang bersisa. Dogol benar-benar terpukul.

Rentetan peristiwa empat ekor lembu Dogol dibaham harimau, Pak Senik mengajak Semaun, Lebai Debasa dan Jusoh untuk memburu harimau. Mereka menarik bangkai lembu berhampiran ran. Rancangan itu menjadi buah mulut orang kampung sehingga Dogol rasa tercabar. Dia juga mahu membunuh harimau itu walau pun dihalang oleh isterinya. Pemergiannya tidak diketahui oleh kumpulan Pak Senik. Apabila tiba waktunya harimau muncul dan Semaun menembaknya. Dalam masa yang sama, Dogol yang leka di tempat persembunyiannya terlebih dahulu diterkam harimau. Melayanglah dua nyawa pada malam itu; Dogol dan harimau.

Nilai: Rentung mengajak pembaca untuk menangani keganasan (konflik) secara berhikmah. Keganasan tidak boleh dibasmi dengan keganasan pula. Keganasan mesti diredakan dengan diplomasi, musyawarah dan sikap sederhana. Dalam hal ini, peranan Pak Senik selaku pemimpin nombor wahid telah berjaya ditonjolkan dengan baik.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *