Matahari di Atas Gilli

Matahari di Atas Gili
Suhada, seorang anak kecil yang ditinggalkan kemudian diambil menjadi anak angkat kepada Mamak. Wanita ini tidak mampu menyekolahkan Hada sehinggalah dia dipinta oleh dipelihara oleh seorang kaya. Ketika berpindah, dia menjadi anak angkat di samping dijadikan sebagai pembantu rumah. Tidak lama daripada itu, dia berpindah pula ke sebuah keluarga lain yang lebih baik. Dia didaftarkan ke sekolah agama dan menjadi pelajar terbaik. Pada usianya 19 tahun, dia disunting seorang pemuda dari Gilli, Suamar. Suamar pemuda Gilli yang bekerja sebagai pembuat kapal. Dia amat berbeza daripada anak-anak Gilli lain yang mewarisi kerja nelayan daripada orang tua mereka.

Ketika sampai di Gilli, Hada mula nampak beberapa perkara melanda masyarakatnya terutama sikap mereka terhadap pendidikan. Hada tidak mahu mereka ketinggalan dan terasing dari dunia, sehingga pada awal-awal kedatangannya ada di kalangan anak-anak kecil Gilli bertanya apakah benar Gilli sebahagian daripada Indonesia? Hada mula mendampingi anak-anak Gilli, bermain bersama, mandi manda dan mengajarkan mereka bahasa Indonesia. Di Gilli, penduduknya berbahasa Madura. Tentu sahaja Hada menghadapi masalah komunikasi tetapi dia memanfaatkan persahabatan dengan anak-anak untuk memahami bahasa Madura juga. Sikap Hada tidak disukai oleh ibu bapa kerana menurut adat Gilli anak-anak seawal sepuluh tahun wajib turun ke laut membantu dan mendalami kemahiran nelayan. Ibu bapa juga mempunyai prasangka buruk terhadap guru terutama sekali setelah satu-satunya sekolah di Gilli dilanda ribut dan roboh. Sejak itu, hanya Pak Karta bekas guru besar sekolah yang masih bertahan. Apabila Hada mendapat tentangan daripada penduduk Gilli hanya Pak Karta dan Ketua Kampung yang menyokongnya. Lantas mereka berusaha mendekati ibu bapa anak-anak tersebut menerangkan kepentingan pendidikan. Akhirnya mereka berjaya memperoleh sokongan sehingga sekolah dibina semula.

Apabila Hada mula mengajar di sekolah secara rasmi, pada hari pertama dia berucap di hadapan pelajar-pelajar dia pitam kerana hamil. Setelah itu suaminya, Suamar mula meninggalkan Gilli untuk mengusahakan perniagaan pembuatan perahu. Suamar mendapat tawaran hebat di luar. Tetapi dia mahu Hada ikut bersama. Itulah persediaan Suamar untuk menyambut kedatangan anak mereka. Suamar akan menghubungi Hada setiap bulan melalui telefon. Hampir kepada tempoh akhir, tiba-tiba Suamar tidak menghubunginya. Suamar ditimpa malang ketika mahu pulang kerana perahu yang ditumpanginya dilambung ombak besar. Dia cedera dan ditahan di wad. Kecelakaan ini diarhsiakan daripada Hada dengan alasan tidak mahu mengganggu kesihatan Hada dan bayi dalam kandungannya. Hanya Umi dan Pak Haji serta ketua kampung menyeberang ke seberang menziarahi Suamar. Mereka hanya pulang setelah Hada benar-benar sarat dan hampir melahirkan. Keadaan itu amat genting, sehinggalah dia bernasib baik mendapat khidmat bidan tunggal di puskesmas. Hada telah pergi dan berjaya melahirkan anak yang diberi nama Sabam. Saat Suamar singgah di Dermaga dia bertemu Hada. Hada memintanya segera ke puskesmas malah memberitahunya mereka sudah mendapat bayi lelaki. Inilah Qarin Hada. Namun begitu, Suamar tidak dapat menerima hakikat kematian Hada. Dia sekeras-kerasnya menyatakan yang dia bertemu Hada dalam perjalanan ke puskesmas itu. Hanya Buk No yang percaya.

Kesal, tidak dapat menerima hakikat, rasa bersalah menyelubungi Suamar. Dia sudah menjadi sasau dan bukan lagi Suamar yang dahulu. Sikapnya sangat berbeza dan dia hidup dalam dunia ilusi. Kepada anaknya Sabam, dia memaklumkan bahawa Hada sakit dan tidak boleh diganggu. Anak kecil itu disetkan pemikirannya seperti itu, Sabam amat mempercayainya. Suatu hari Buk No membawa Sabam berjalan-jalan ke pantai. Sabam yang termat rindu kepada Hada memberontak dan menangis. Buk No serba salah dan amat kasihan melihat keadaan Sabam. Dia menjelas konsep kematian dan syurga. Dia akhirnya membawa Sabam menziarahi puasara Hada. Peristiwa ini menyebabkan Sabam mulai meragui Suamar. “Bapa bohong!” Sehinggalah Suamar tidak dapat mengawal emosinya dan memukul Sabam. Sabam dibawa ke rumah datuk dan nenek mereka, dan timbullah konflik di antara Suamar dan Pak Haji. Suamar membawa diri sehingga setahun lamanya. Setelah itu dia menelefon dan meminta maaf. Sangka Pak Haji, Suamar sudah benar-benar pulih. Tetapi malangnya, dia masih sama. Di akhir perbualan dengan ayahnya, Suamar memberitahu yang dia akan pulang bersama Hada. Ah! Betapa hampanya Pak Haji mengetahui hakikat diri Suamar itu. Fikirnya, tentulah setelah setahun menjeruk rasa, Suamar bisa mencari ketenangan dan erti hidup, lalu membina kehidupan yang baharu.

Keesokannya, tersiar di akhbar berita tentang kematian Suamar di landasan keretapi. Dia pergi dalam keadaan yang sungguh menyeyat hati.

Nota kaki:
Ini buku kedua Lintang Sugianto yang saya baca. Buku pertama saya peroleh ketika beliau bertandang ke KL sempena acara Bicara Puisi di Rumah PENA bertarikh 14 Disember 2006. Kumpulan puisi Kusampaikan amat menarik. Apabila membaca Matahari di Atas Gilli, semacam ayat-ayatnya gabungan bait-bait puisi. Puitis! Gambaran alam Gilli dilakar dengan baik dan kemas. Ia juga boleh dikatakan sebagai catatan pengembaraan seorang gadis yang cuba membangunkan tamadun di sebuah pulau yang jauh dari arus pembangunan nasional. Tentu sahaja mereka terpaksa menyelami adat resam dan budaya setempat. Mereka juga terpaksa mengahadapi tentangan demi mengubah paradigma yang telah sekian lama sebati dengan jiwa masyarakat. Kisah ini sebuah perjuangan membangunkan manusia yang jarang-jarang kita dengar. Secara tidak langsung, pembaca dapat mengembara ke daerah baharu bernama Gilli. Dikatakan bahawa Gilli terdapat dua buah dermaga; Ujung Dhaja dan Dermaga Hada. Nama Dermaga Hada diabadikan sebagai mengenang seorang pejuang bernama Hada membawa Gilli ke dalam arus pembangunan di Indonesia.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *