Hostel: Debaran Kedua

Hostel

Judul: Hostel Debaran Kedua
Penyelaras: Prof. Ir. Wan Abu Bakar Abas dan Hasimah Harun
Penerbit: eSastera Enterprise
Tahun: 2004
ISBN: 983-41715-1-X
Harga: RM20.00

Novel Hostel Debaran Kedua (HDK) merupakan sebuah novel elektronik (e-novel) yang ditulis di alam maya. HDK dibukukan setelah 12 orang penulis dalam Komuniti Esasterawan menulisnya secara berperingkat-peringkat dan mengambil masa 13 bulan untuk disiapkan. Selain Prof. Ir. Dr. Wan Abu Bakar Abas dan isteri beliau Hasimah Harun, nama-nama seperti Abdul Latip Talib, Anbakri, Ida Munira Abu Bakar, Jimadie Shah, Md Zainuddin Abd Rahman, Muhamad Hatta Ghazali, Muhammad Zakir, Nimoiz T.Y, Rudy Ludinata dan Wan Nur Ilyani Wan Abu Bakar turut sama-sama terlibat dalam penulisan HDK.

Novel HDK setebal 349 muka surat ini merangkumi 50 bab, berkitar dunia dan peristiwa akademik di Universiti Malaya (UM). Latar tempat yang difokuskan dalam HDK ialah Kolej Kediaman Kedua (KK2) UM. Dunia kemahasiswaan beberapa pelajar UM melalui watak utama Ali, Alim, Aliman, Anisah Kasfi, Dr. Kamsi dan Zalee amat mengesankan. Penulis-penulis HDK yang mempunyai pelbagai latar belakang dan tahap akademik daripada seorang pensyarah, guru, penulis, penyair dan pelajar kejuruteraan serta undang-undang menjadikan HDK lain dari yang lain. Plot cerita yang dimuatkan meliputi agama, budaya, motivasi kekeluargaan, undang-undang, falsafah hidup, misteri, humor, cinta dan catatan kembara.

Menurut Prof. Dr.Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas, HDK mendapat pengiktirafan Sasterawan Negara (SN) S Othman Kelantan sebagai sebuah novel berbahasa Melayu yang bermutu. Masakan tidak, pembaca ‘dijamu’ dengan pengenalan yang menghiburkan. Berikut ialah petikan yang dimaksudkan; Masa itulah, katanya, dia nampak dengan mata kepalanya sendiri yang Ustaz Alim memakai seluar dalam perempuan. Dan, bagi mereka, kalaulah hal itu betul, itu masalah besar. Unsur humor dan suspen seperti ini banyak kedapatan dalam HDK, dan menjadi keselesaan kepada pembaca mengikuti cerita dalam bab demi bab tanpa rasa jemu.

Selain unsur humor, HDK turut memuatkan realiti dunia kemahasiswaan yang merangkumi politik kampus, politik ahli akademik universiti, aktiviti pengajian dan berpersatuan. Kekuatan HDK terletak pada kekuatan tema kemahasiswaan dalam realiti kehidupan kampus. Watak-watak yang digarap juga mempunyai pro dan kontra tersendiri bergantung kepada kedudukan ekonomi keluarga mahasiswa. Penulis-penulis juga berjaya menghidupkan watak manusia-manusia opurtunis, materialstik, pendendam, dengki, gila kuasa, penakut, pak turut, putar belit, bermuka-muka, warak, bermaruah dan yang tewas/gagal dalam percintaan. Semua perkara sama ada ditokok tambah di luar rasional atau betul-betul berlaku mampu mengajak pembaca untuk berfikir tentang kebenarannya.

Mesej-mesej keilmuan di dalam HDK diolah dengan gaya yang santai dan bersahaja. Fakta-fakta yang berat seperti konsep sains, perundangan, latar tempat, kajian kes, ditulis dengan baik sehingga pembaca tidak menghadapi kesukaran menghadamnya. Menariknya, kajian kes yang dibuat untuk merungkai sesuatu persoalan menjadikan anda seolah-olah sedang memegang buku penyiasatan sehebat karya Shakepears.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *