Harga Sebuah Maruah

Judul: Harga Sebuah Maruah
Penulis: Azizi Hj. Abdullah
Penerbit: DBP
ISBN: 9789836296474
Harga: RM25.00

Penulis Hj. Azizi Abdullah dalam bukunya berjudul Kuras-kuras Kreatif menceritakan bahawa beliau berasal dari keluarga tradisional yang mengerjakan sawah. Semua adik beradik beliau kecuali dia (setelah menjadi guru), mengerjakan sawah itu musim demi musim. Maka tentulah dengan pengalaman bersawah yang pernah dilaluinya, Hj. Azizi Abdullah sangat akrab dan masak dengannya. Berikut petikan yang dikutip dalam buku Kuras-kuras Kreatif. “Sejak kecil lagi saya sudah kenal sawah ataupun bendang mengikut istilah orang kampung di Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah. Malah keluarga saya hidup dengan bersawah. Seramai tujuh beradik, dua perempuan dan lima lelaki kesemuanya bekerja sawah, kecuali abang yang nombor lima, iaitu Sanusi.” (Kuras-kuras Kreatif, Hj. Azizi Abdullah, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007, halaman 27).
Hal ini sangat membantu penulis melakarkan gambaran sawah dengan penuh rinci. Pembaca akan menjadi asyik mengikut watak-watak yang digarap mengerjakan sawah. Novel ini memenangi tempat kedua Sayembara Mengrang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Sebuah kisah realiti yang diangkat serta dikembangkan dari kisah yang dinukilkan dalam koleksi karya Luka Rakyat terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Harga Sebuah Maruah adalah secebis catatan duka rakyat marhaen yang bangkit mempertahan hak dan maruah diri. Mereka bangkit bukan kerana menentang pembangunan tetapi mahukan keadilan buat diri, menentang penindasaan dan mempersoal kesahihan akta yang penuh dengan muslihat atas nama pembangunan. Malahan dalam versi yang lebih panjang misalnya, Azizi Abdullah merakamkan penderitaan pemilik tanah berjumlah 200 orang di Kerpan dalam buku Air Mata Kerpan, terbitan CAP. Projek pembangunan kolam udang harimau yang tidak berjaya itu serta kesan buruknya terhadap alam sekitar dan sosioekonomi pemilik tanah diceritakan dengan lengkap.
Cah, seorang wanita tua hanya mengusahakan beberapa lot tanah sawah pusaka arwah suaminya. Beliau mempunyai dua orang anak bernama Sulaiman dan Hijrah. Sulaiman lebih terpelajar dan hidup makan gaji di Kuala Lumpur. Manakala Hijrah pula hanya sekolah di kampung dan membantu Cah mengusahakan bendang. Apabila timbul soal pengambilan tanah untuk pembangunan di Kertau, Cah menjadi sangat bimbang. Dia yang berdarahdagingkan peluh dan keringat bersawah tidak hanya memikirkan soal wang pampasan tetapi memikirkan untung nasib hidup dan maruah jika menggadaikan tanah sawah tersebut. Bagi Cah, bersawah adalah tradisi hidup yang harus dilangsungkan. Menggadai sawah samalah dengan menjual maruah pesawah kepada orang lain. Bermula dari itu timbul konflik kekeluargaan apabila anak sulung Cah, Sulaiman sangat menentang hasratnya. Sulaiman beria-ria mahukan tanah itu diserahkan kepada kerajaan manakala Hijrah pula menyokong Cah. Hijrah yang digambarkan sebagai bodoh alang, pendiam dan betul bendul menjadi seorang yang sangat berani sehingga beliau ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap.
Penentangan terbuka penduduk dibantu oleh sekumpulan peguam. Di kalangan penduduk kampung sendiri terdapat dua golongan iaitu yang menyokong dan menentang pembambilaihan tanah sawah. Pemaju projek pembangunan kolam udang harimau menggunakan akta pengambilan tanah untuk pembangunan dengan menawarkan pampasan yang tidak seberapa. Suatu hari beberapa orang yang bersetuju dengan pengambilan tanah seperti Pak Ngah Musa dan Pak Long Derani bersepakat dengan Imam Hj. Zakaria untuk memujuk pesawah. Mereka memanggil beberapa orang pesawah yang dipilih-pilih dalam majlis bacaan Yasin. Dalam majlis itu, Hijrah dijemput tetapi Cah tidak dimaklumkan. Mereka menawarkan cek RM5000 sebagai bayaran pendahuluan dan bermakna mereka boleh menunaikan cek sebagai tanda persetujuan awal. Pun begitu, Cah secara senyap-senyap memerhati perkara itu di balik dinding surau. Dia menjadi sangat bangga dengan pendirian anaknya Hijrah kerana tetap teguh, tidak berganjak dari pendirian asalnya.
Tidak setakat itu, keesokannya jentera dibawa masuk ke kawasan bendang yang sudah mula menampakkan isi. Tangkai-tangkai padi sudah penuh dan menunggu masa untuk menguning. Berlakulah kekecohan apabila dibantah dan dihalang oleh penduduk. Azmi menunjukkan surat peguam untuk menangguhkan kerja-kerja membersih sawah. Pada awalnya, mereka dihalang tetapi kemudian diberi muka. Namun begitu, kegembiraan mereka hanya seketika. Keesokannya Azmi, Cah dan Habibah diangkut ke balai polis untuk disoal siasat. Betapa dalam memperjuangkan sesuatu, tidak semestinya kita menang. Tetapi yang lebih penting ialah sedaya upaya mendapatkan hak. Terma dalam perjanjian yang dibuat adalah sekiranya projek kolam tidak berjaya, tanah sawah akan dikembalikan. Tetapi apakah berguna lagi kalau tanah sawah sudah dilonyang menjadi kubang babi? Begitulah bezanya jika tanah sawah ditukar menjadi kolam udang kerana pemaju terpaksa menambah bendasing lain untuk menyesuaikan tanah bendang kepada persekitaran udang harimau.
Penulis bijak menukilkan emosi watak-watak di dalam novel sehingga turut menyeret sama rasa empati pembaca. Contohnya seperti dalam halaman 263.
Masakan tidak tergamam apabila mereka dapati hampir suku relung sawah kepunyaan Pak Kasim sudah terlonyang oleh jentera pengorek yang bergigi besi, sekejap terangkat sekejap membaham tanah tanpa peduli pada pokok-pokok padi yang sudah mula bertangkai dan mengeluarkan buah.
Selain paparan emosi, penulis juga memasukkan unsur budaya iaitu jampi yang dibacakan oleh pesawah. Hal ini sangat penting sebagai catatan yang unik dalam taridisi Melayu tradisional. Nilai budaya ini berkait rapat dengan kepercayaan manusia Melayu yang menghormati unsur alam, tetapi tentulah tidak cocok dengan anjuran agama Islam.
“Hai merung mesuk nang semulai. Lebih baiklah engkau jangan duduk dengan si anu itu. Dia nak pukul dan beri engkau, nak jual engkau pada orang lain.”
(halaman 291)
Inilah catatan penting sebahagian daripada jampi serapah menyeru semangat padi yang bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam. Saya fikir penulis bukanlah sengaja mahu mendokumenkan (dengan tujuan untuk mengagungkan) jampi itu, tetapi itulah sebahagian daripada realiti amalan bersawah zaman dahulu yang jarang-jarang didengar kebelakangan ini. Pesawah mutakhir ini sudah faham hal-hal berkaitan syirik dan tidak mengamalkan perkara yang disebut itu. Sebaliknya, kepercayaan pesawah zaman moden ini lebih menjurus kepada keyakinan adanya badi padi. Selepas mengetam mereka akan membakar jerami padi kononnya dapat mengelak bencana badi, yang akan membantut kesuburan tanah. Dalam hal ini, perlu ada satu kaedah yang lebih sistematik untuk melupuskan jerami padi seperti penggunaan biojisim untuk menghasilkan tenaga.
Harga Sebuah Maruah mendedahkan kepada dunia bahawa selamanya rakyat akan tewas apabila berhadapan dengan akta atas nama pembangunan. Sehebat mana pun kesatuan marhaen untuk menentang keinginan ahli politik, mereka tetap akan kalah.
“Angin tak selamanya bertiup
Langit tak selamanya cerah
Betapa pun pagi suria bersinar, mendung petang berarak juga
Tasik tak selamanya tenang
Laut tak selamanya berombak
Apabila kehidupan dicakar takdir
Keadilan dan kebenaran
Dikoyak carik oleh kuasa
Kita di mana?”
(halaman 314)
Tetapi jangan lupa, rakyat tidak selama-lamanya akan memaafkan tindakan pemimpin yang rakus. Keangkuhan pemimpin akan dibalas oleh rakyat juga akhirnya.
“Rakyat itu diam
tapi ia pencatat tidak pernah lupa
Rakyat itu seperti naga
Melingkar dengan berat badan
dan diam dalam keheningan sendiri
Pancainderanya tajam
Luat intuisinya dengan akal budi
Lalu jangan sekali-kali melukakannya,
Jangan melukakannya berkali-kali
Kerana sekali ia bangkit
Rosaklah segala apa-apa

Rakyat itu mampu sabar
Seperti ular besar yang perutnya berisi
Tapi kalau ia kelaparan
Bumi lingkarannya akan bergegar
Rakyat itu seperti binatang purba
Tidak berasa sakit meski diinjak.
Jangan biarkan rakyat lapar
Jangan bodohkan rakyat jelata
Jangan tindas rakyat
Kerana sifat diamnya akan hilang
Kesabaran akan lupus
Bijaksananya menjadi gila
Disebarnya air dendam yang tidak memilih siapa.

Rakyat yang lapar mahunya satu,
Keadilan!
Rakyat yang ditindas mahunya satu,
Keadilan!
Rakyat yang diam mahunya satu,
Saksama!
Rakyat yang bergerak mahunya satu,
Kebebasan!
Rakyat yang bantah mahunya satu,
Ketelusan!
(halaman 324 – 325)

Ketika genting menghadapi ribut penentangan, tiba-tiba sahaja Pak Kasim dijemput menghadap Ilahi. Habibah, cucunya dinikahkan dengan Hijrah. Malang sekali bagi Habibah kerana perkahwinannya berlangsung ketika datuknya sudah tiada. Kesemua penduduk terpaksa mengalah walau pun di sudut hati mereka sangat berat. Harga Sebuah Maruah sebuah garapan realiti yang tidak akan dilupakan terutama mereka yang tertindas.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *