Fitrah Kimiawi

Judul: Fitrah Kimiawi
Pengarang: Rahmat Haroun Hashim
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN: 9836290168
Harga: RM15.00
Pengulas: Naimisa Yusof

Fitrah Kimiawi (FK) merupakan buah tangan seorang penulis luar (istilah yang ditujukan kepada penulis berkelulusan bukan sastera). Kemunculan FK menimbulkan kelainan (indifferent) berbanding pengalaman penulis aliran sastera tulen. Seperti judulnya, pembaca dapat mengagak penulisnya merupakan seseorang yang terlibat secara langsung dalam bidang kimia.

Novel ini digarap dengan latar peristiwa pengalaman penulis menuntut ilmu di maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Cerita dimulakan dengan memaparkan obsesi seorang pelajar bernama Omar terhadap sains. Omar diminati oleh seorang pelajar perempuan bernama Muniroh, tetapi dalam masa yang sama dia meminati Cikgu Kartini. Omar menulis surat cinta (dalam bahasa Inggeris) kepada Cikgu Kartini. Malangnya surat itu berantakan (dari segi nahu Inggeris), malah lebih mengaibkan dibaca oleh ibu Cikgu Kartini. Surat itu dikembalikan semula dengan coretan-coretan pembetulan tatabahasa oleh Cikgu Kartini. Insiden tersebut membuatkan Omar serba salah. Dia terpaksa melenyapkan perasaannya terhadap Cikgu Kartini dengan melayan kecenderungan Muniroh terhadapnya.

Permulaan cerita sangat menarik dengan sikap obses Omar mengkaji kimia di sebalik cinta. Dia telah berjaya mengeluarkan formula kimia yang menimbulkan perasaan cinta dengan menggunakan tikus di makmal maktab. Namun plotnya tidak konsisten apabila penulis melenyapkan bahagian cinta, sebaliknya lebih menumpukan kepala pengolahan perjalanannya menuntut ilmu di samping peristiwa yang menimpa rakan-rakannya. Dalam hal ini, Zahir ditonjolkan sebagai seorang anak kampung yang serba kekurangan. Zahir terkena ilmu guna-guna akibat dendam Sabu, seorang pembuli yang digeruni di kalangan pelajar maktab. Penulis berjaya menterjemahkan pemikirannya tentang kepercayaan orang Melayu terhadap bomoh, alam mistik serta percanggahan kedua-dua elemen dengan sains. Pada bahagian ini juga, gejala sosial yang mewabak dalam masyarakat termasuk pelajar pintar turut ‘dibedah’. Pun begitu, penulis tidak menguatkan kritikan dari aspek keagamaan untuk menentang kejumudan pemikiran atau memurnikan keadaan sebagai suatu remedi kepada permasalahan sosial. Tidak dinafikan, ada beberapa tempat sahaja ditonjolkan aspek agama itu, tetapi masih di peringkat asas (klise).

Fitrah Kimiawi dikembangkan dengan baik, prinsip-prinsip asas sains kimia diterap dengan baik, sesuai dengan khalayak pembaca novis. Konsep-konsep kimia ditulis dalam bahasa yang mudah. Membacanya dapat menyubur minat pembaca kepada sains khususnya kimia. Namun, penekanan pengetahuan kimia itu tidaklah sedetail (baca sepadat) idea-idea sains dalam “ The Art of Seeing Science” oleh Nurjuanis Zara. Di samping penerapan pengetahuan kimia, penulis juga membuat beberapa kritika sosial. Antaranya masalah disiplin pelajar elit, isu sumbang mahram, kualiti makanan, gejala sosial dan kepentingan kebersihan. Beberapa bab awal mungkin boleh menghilangkan mood baca kerana jalan ceritanya belum memasuki fasa advancer. Namun begitu, pada akhir bab empat plot cerita menjadi lebih menarik. Penulis mula mengembangkan bahagian fiksi dengan menerapkan idea gejala ghotik yang melanda remaja Malaysia. Watak-watak protagonis dan antagonis mula ditonjolkan dengan baik.

Novel ini diakhiri dengan watak heronya (Omar) bertemu semula dengan Cikgu Kartini di London. Ketika itu masing-masing masih belajar dan bujang. Akhirnya Omar berkahwin dengan Cikgu Kartini yang lebih tua enam tahun daripadanya. Manakala watak antagonis (Sabu dan kumpulannya Gang of Eight/GOE), dibuang maktab.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *