Adik Datang

Judul: Adik Datang

Penulis: SN A Samad Said

Penerbit: Wira Bukit Sdn. Bhd.

Tahun: 2003

ISBN: 983-41196-0-7

Harga: RM35.00

Pengulas: Naimisa Yusof

Adik Datang merupakan sebuah novel SN A Samad Said yang diterbitkan pertama kali pada tahun 1978. Novel ini menceritakan keresahan, kegelisahan dan kekalutan manusia-manusia yang menghadapi perang.

Suhaidah atau Haidah kehilangan suaminya bernama Hamid ketika masih muda. Beliau mempunyai seorang anak bernama Zalifah, dan sarat mengandung. Zalifah seorang anak yang teramat merindui datuknya Rashidi (Tok Hidi), sehingga dia terbawa-bawa ke alam mistik. Zalifah memberitahu ibunya bahawa dia pernah berjumpa Tok Ghazali, sahabat karib datuknya. Orang tua itu didakwa menunjukkan gambarnya bersama Tok Hidi, hal ini menggamit keyakinan Zalifah bahawa datuknya masih hidup. Malahan, Zalifah juga bertemu dengan Shahrizah (tidak pernah wujud). Katanya Shahrizah mempunyai  adik kembar bernama Wan Empo dan Wan Malini. Walhal hikayat ini diturunkan kepadanya oleh Tok Hidi.

Setelah Hamid menjadi arwah, Mokhsen menjaga adiknya Suhaidah. Lantaran perang dan keadaan Suhaidah serta penyakit ganjil Zalifah, Mokhsen hanya melakukan kerja kampung seperti bertukang. Dia tidak berani menjadi kelasi kapal lebih-lebih lagi sejak kemalangan kapal karam di Tanjung Pengharapan. Karamnya kapal Boega Boedja menyebabkan ayahnya hilang, tidak dapat dikesan. Mokhsen membantu ustaz Dzulkifli membina madrasah yang diasaskan oleh Wagiman.

Dzulkifli, seorang ustaz muda yang dipelihara oleh pasangan Mispan dan Rusini. Sekali gus, Wagiman menjadi ‘datuk’nya. Beliau mempunyai seorang adik bernama Rasimah. Lantaran perang, Rasimah dikahwinkan dengan calon pilihan Wagiman bernama Shamsuri. Namun begitu, alam rumahtangga mereka goyah, kerana Shamsuri bukanlah suami yang bertanggungjawab. Lebih mengejutkan Rasimah dan Dzulkifli hanya mengetahui kedudukan mereka sebagai anak angkat Mispan pada saat-saat akhir hayatnya. Rusini tidak dapat menerima hakikat tersebut sehingga menyalahkan Wagiman. Beliau menuduh Wagiman tidak teliti memilih calon suaminya hanya kerana dia bukan cucu yang sebenar. Mereka sebenarnya anak kepada pasangan Kasan dan Ernawati yang terbunuh dalam pemberontakan Belanda di Indonesia.

Adik Datang menghidangkan pengertian perang. Sentuhan pena SN A Samad Said ini amat memberangsangkan. Teknik penulisan yang menggunakan gaya hambatan psikologi yang bagus (ditulis sehingga pembaca asyik malah dapat mengingat pula beberapa ayat yang diulang-ulang). Sebagai contoh, dialog “Dia bukan hendakkan Haidah saja; dia hendakkan Si Simah itu juga.” (muka surat 180). Dan dialog yang senada ini diulang lagi pada muka surat 302 dan 303. Pengulangan seperti ini memberi kesan khas kepada pembaca, sehingga kesinambungan cerita yang digarap tampak teliti dan kemas (syabas!). Penulis juga berjaya menerobos sikap manusia-manusia di ambang perang; suka berangan-angan, membawa khabar angin (menduga-duga),  penilai dan penyelidik, rasa sangsi dan takut.

Salah satu hal yang terindah di dalam novel Adik Datang ialah pengolahan penulis tentang cara-cara menghadapi seorang anak kecil. Apabila Suhaidah melahirkan anak kembar, dia kehilangan nyawanya. Mokhsen secara bijak mengimbau kenangan-kenangan lampau Zalifah bersama binatang yang telah mati. Dia bertanya Zalifah tentang kucing pelaiharaannya, si Tompok. Dia mengingatkan Zalifah tantang monyet peliharaan Aizam (Kinam) yang digelar Wak Keroyok. Penulis telah berjaya menggunakan pedagogi untuk menyedarkan Zalifah keadaan sebenar. Dia tidak tergesa-gesa memberitahu Zalifah yang Suhaidah telah mati. (Babak ini paling menyentuh emosi!).

Adik Datang sebuah novel yang menggabungkan unsur kemanusiaan, sejarah (perang dan perjuangan), kehidupan dan kesenian sebelum Perang Dunia Kedua. Sebuah karya yang menggugah kesedaran pembaca terhadap nilai kehidupan menggunakan falsafah kehidupan yang tinggi. Adik Datang mengajak pembaca menghargai kehidupan seadanya kerana kehidupan adalah perjuangan. Manusia sentiasa berjuang untuk hidup.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *