0

Jendela baharu

Pada 19 Oktober 2013, saya bercadang ke Kedai Buku Koperasi DPB di menara DBP. Tujuannya untuk membeli beberapa majalah yang memuatkan karya-karya lama. Karya tersebut tiada dalam format asalnya kerana peranti mudah alih rosak dan akses ke Google Doc tidak dibenarkan lagi. Hal berkaitan akaun Google Doc yang digodam sebenarnya sudah sampai ke pengetahuan mereka yang berkenaan. Terdapat beberapa usaha dibuat oleh pakar keselamatan siber Google yang saya perhatikan untuk membantu tetapi tidak berjaya. Saya faham betapa sukar untuk decrypt (merungkai) kata laluan yang sudah encrypted. Hal ini menjadi suatu yang dimaklumi dalam dunia keselamatan siber.

Setelah tiba di hadapan Menara DBP, jaga bertugas memaklumkan kedai koperasi buku tutup. Baharu saya tahu, operasinya sudah tidak seperti beberapa tahun dahulu. Sebagai alternatif, saya laksana rancangan B, iaitu ke Perpustakaan Negara Malaysia. Dari Jalan Dewan Bahasa, saya hanya perlu masuk ke Jalan Pudu menuju bulatan Pahang. Sebelum Bulatan Pahang ada pusingan U menghala Seremban semula. Perpustakaan Negara Malaysia bersebelahan Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) tidak sampai satu kilometer dari Bulatan Pahang. Arkib bagi akhbar dan majalah berada di blok bangunan baharu di tingkat enam. Setelah masuk, saya diberi panduan untuk membuat carian dalam sistem katalog PNM. Mendapatkan maklumat ini tidak sukar tetapi mencari bahan fizikal mengambil sedikit masa. Hal ini kerana susunannya tidak mengikut aturan yang sepatutnya. Boleh jadi perkara ini berpunca dari sikap pengunjung terdahulu yang tidak meletakkan semula pemegang fail (file folder holder) majalah tersebut di tempat asalnya. Pencarian koleksi majalah di atas rak mengambil masa 30 minit. Majalah TC yang ada bermula edisi 2002.

Setelah menemui bahan yang dikehendaki, saya hanya perlu membuat salinan fotostat. Perkhidmatan fotokopi PNM adalah seperti berikut. Setiap individu perlu membeli kad penggunaan mesin fotostat berharga RM10. Kad ini sah selama dua tahun dan boleh diguna untuk membuat cetakan sehingga 70 halaman. Kad tersebut boleh diguna pada mana-mana mesin fotokopi yang diletakkan di tingkat 6 hingga 9. Ketika itu seorang doktor di sebelah saya mahu membuat salinan soalan Sejarah dalam Berita Harian. Soalan dan jawapan dalam akhbar tersebut menurutnya mungkin dapat membantu anak beliau dalam peperiksaan SPM. Saya bertanya kembali apakah asas yang diguna pakai oleh beliau? Doktor pakar bius Pusrawi tersebut menjawab, “Saya dapati sebahagian soalan kertas Bahasa Melayu yang keluar dalam peperiksaan diambil dari soalan-soalan yang dibincang dalam akhbar ini.” Ketika menunggu giliran membuat cetakan, seorang calon doktor falsafah Pengajian Komunikasi Massa UM menimbunkan koleksi akhbar The Star separas lulut. Melihatkan saya dan doktor pakar bius datang, dia dengan sukarela memberi laluan kepada kami.

Sempatlah kami kongsi beberapa maklumat seperti yang dicatat dalam para di atas. Dan ini sambungan cerita saya berkaitan usaha mengumpulkan karya lama. Sekembali ke meja rekayasa, saya kejapkan semula himpunan karya dalam format soft copy. Cadangan Manuskrip Kumpulan Cerpen Persendirian Naimisa Yusof dimajukan kepada pihak penerbit. Sehingga kini, pihak penerbit telah menghantar surat akuan penerimaan karya. Bermakna proses seterusnya adalah menunggu giliran manuskrip tersebut dinilai oleh panel penilai. Saya doakan urusan mereka dimudahkan, diberi kekuatan minda, kebijaksanaan dan dibuka ilham. Maka dengan itu cepatlah urusan penerbitan karya tersebut menjadi nyata. Amin.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *