1

Ilham

Sememangnya ilham suatu yang rahsia. Ilham adalah seni hidup yang tidak pernah dapat diceritakan secara tepat. Setiap orang mempunyai cara sendiri mendapat sesuatu ilham. Kadang-kadang dalam keadaan tidak diduga. Bagaimana seseorang yang menulis misalnya? Ada kalangan penulis mendapat idea apabila berada jauh dari keramaian. Perlu bersunyi-sunyi dari kesibukan bandar atau anak isteri. Ada juga penulis yang mendapat ilham dalam hiruk-pikuk manusia dan deruman enjin mesin. Ada sesetengah penulis mendapat ilham dalam mimpi atau hasil renungan di tepi tasik atau laut. Dikhabarkan SN Abdullah Hussain dikatakan menghasilkan novel IMAM setelah bermimpi. Ilham tidak tertumpu pada bidang penulisan sahaja malah setiap rekayasa di dunia bermula dengan ilham. Apabila dicambahkan ilham bertukar menjadi idea yang solid. Maka timbullah macam-macam perkara dalam dunia seperti pembinaan bangun, penciptaan kenderaan, gajet elektronik, pembangunan produk perniagaan, kaedah pengajaran, teknik penyelesaian masalah, filem dan lain-lain.

Saya mendapat ilham untuk menulis setelah membaca atau mendengar kuliah pengajian di masjid. Apa yang saya dapat ingat dalam tempoh 48 jam selepas kuliah agama, itulah yang saya tulis. Dua hari itulah keupayaan otak saya mengingat apa yang saya dengar kerana saya tidak menulis nota ketika kuliah agama. Dalam hal lain, kadang-kadang idea yang diperam menjadi mainan tidur. Dari mimpi itulah idea bertukar menjadi sebuah karya yang lengkap. Satu ilham yang dikira misteri hingga kini berkaitan pembangunan portal. Suatu hari seorang jiran bertemu saya di hadapan lif. Dia bertanya, “Kamu boleh bina laman web?” Mungkin dia bertanya kerana melihatkan saya menggalas beg laptop. “Ya.” Jawab saya basa basi. Saya mula memikirkan untuk membina laman web dalam laptop dahulu. Kemudian hasilnya akan saya tunjukkan kepada beliau. Saya pun mula menimbang dua kemungkinan sama ada untuk menggunakan source code Liferay atau WordPress. Kedua-duanya boleh dibangunkan menggunakan pangkalan data MySQL. Memandangkan Liferay lebih baik dibina untuk laman web besar yang memiliki berates-ratus halaman, maka saya putuskan untuk menggunakan WordPress.

Saya muat turun source code WordPress kemudian install enjin untuk pangkalan data. Enjin pangkalan data MySQL, Apache dan PHP dalam laptop. Semua ini lengkap dengan instalasi XAMPP (bagi Windows) atau WAMPP (bagi Linux). Hal ini tidak perlu dibuat jika menggunakan Liferay kerana ia telah lengkap dengan stand-alone server. Setelah pembolehubah system variable bagi MySQL dan PATH diset dalam laptop, saya cipta nama pangkalan data yang akan diguna. Semua source code diekstrak dan tiba-tiba saya sangkut pada bahagian asas untuk menghubungkan laman web dengan pangkalan data. Saya cuba menghubungi rakan yang dikira boleh membantu. Tetapi dia tidak menjawab panggilan. Mesej yang dihantar juga tidak berjawab. Mungkin dia mahu saya mencari dalam enjin carian Google sahaja. Setelah penat mencari penyelesaian melalui internet (dan semuanya sia-sia), saya terlelap. Jam 4 pagi, saya terjaga setelah melihat dalam tidur itu saya membuat semula konfigurasi awal menyambungkan laman web dengan pangkalan data. Oh! Hebat dan misteri ilham yang didatangkan oleh-NYA. Betapa konfigurasi itu sangat mudah. Saya fikir jika kawan saya menjawab panggilan telefon 3 jam sebelumnya, mungkin dia akan perli, “Perkara kecil macam ini pun hendak tanya?” Demikian perkara yang tidak diketahui perlu ditanya meski ia mudah bagi orang yang disoal. Saya tidak rasa ia soalan bodoh atau sekadar soalan untuk menguji. Bukan jenis saya bertanya untuk menguji pengetahuan orang yang ditanya.

Habis cerita ilham yang diperoleh ketika memulakan satu pembinaan laman web untuk jiran saya. Berbalik kepada penulisan, belakangan ini terdapat banyak laman web yang menyediakan persekitaran yang dikira boleh menggalakkan ilham. Laman ini dicipta supaya ahli yang menulis di laman web tersebut mendapat audien. Antara laman web penulisan yang dimaksudkan termasuklah e-sastera.com, kapasitor, ilham karangkraf, Penulisan2u. Laman penulisan e-sastera.com dan kapasitor bertaraf antarabangsa kerana penyertaannya melibatkan penulisan luar negara seperti Singapura, Brunei, Jepun, England, Belanda, Ireland, Mesir dan lain-lain. Ilham Karangkraf baharu sahaja muncul bagi menggalakkan penggemar sastera mencuba nasib. Maka saya juga ingin mencuba nasib dengan memanfaatkan laman web ilham.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

One Comment

  1. Ilham lebih byk datang bila sesuatu yg hendak dibuat untuk manfaat orang lain. Membuatkan orang lain berasa senang dan gembira itu adalah bayaran yang cukup bermakna. terima kasih berkongsi cerita. semoga maju jaya 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *