0

Ikram Prihatin

Saya memulakan perjalanan dari INFRA Bangi. Kenderaan ditinggal sementara waktu bersebelahan surau. Jam tepat 12.30 pagi. Saudara Saiful dan Shofwan sedia menunggu. Kami menaiki kenderaan Saiful ke Putra Heights. Kami tiba jam 1.15 pagi. Sebuah kereta sedia menunggu. “Ada orang.” Ujar Shofwan sambal mengejutkan pemandunya. “Saya Zul.” Pemandu tersebut perkenalkan diri. Menurut Zul, beliau masih belajar di sebuah kolej perubatan swasta.

debu

debu

 

barang agihan

barang agihan

Kami berempat naik ke pejabat kerana kunci berada dalam simpanan Shofwan yang baru diambil daripada salah seorang ahli yang tinggal berdekatan dengan pejabat. Malam itu kami berempat istirehat di situ. Ruang tangga menjadi sempit kerana menempatkan kotak-kotak barang bantuan banjir.

Jam 5.00 pagi. Kami bangun semula. Beberapa orang yang datang lebih lewat mungkin dalam jam 3 pagi lebih memilih untuk tidur dalam kereta masing-masing di bawah. Mungkin mereka tidak tahu siapa yang hendak dihubungi atau sengaja tidak mengganggu tidur sahabat. Kami memunggah barang-barang yang difikirkan perlu. Perenjat air elektrik, wayar getah, kereta sorong, penyodok, bungkusan set keperluan asas dapur, dapur gas dan hos. Sebahagian daripada barang ini disimpan di pejabat Ikram Temerloh pada akhir misi. (Sila baca di bahagian akhir). Ustaz Aidil sekalu ketua misi memberi taklimat ringkas. Semua sukarelawan perlu memandu. Demikian ketetapan yang dibuat oleh ketua misi. Hal ini menyebabkan saya berpeluang kali pertama memandu pacuan empat roda. Dan kemudiannya MPV ketika pulang.

Kami solat Subuh di Masjid Kinrara, Puchong. Kemudian melalui Lebuhraya Persekutuan melalui Jalan Kuching – Batu Muda – Batu caves – Taman Seri Gombak. Hal ini kerana seorang ahli yang dalam misi kami berada di Seri Gombak. Jam 7.15 pagi, kami bersarapan di Restoran Thaqwa bertentangan dengan medan selera yang menempatkan deretan kedai Melayu. Masih terlalu awal untuk orang-orang Melayu kita di situ membuka kedai masing-masing. Kami tiada pilihan. Perjalanan kami lengkap dengan 12 orang sukarelawan dengan menaiki sebuah MPV, dan empat buah pacuan empat roda. Saya ditempatkan bersama ustaz Hajar Opir, Zul dan Haji Sakijan Bin Muri dengan menaiki Triton.

Setiap kenderaan dibekalkan walkie talkie untuk memudahkan komunikasi konvoi. Bermakna kami tidak akan terkeluar dari radius yang dihadkan sehingga tidak boleh dihubungi melalui alat ini. Jam 9.51 pagi, kami tiba di Plaza Tol Chenor. Kami meneruskan perjalanan ke Sekolah Agama Chenor, lokasi yang dijadualkan aktiviti mencuci. Setibanya di lokasi, kami dapati sekolah tersebut padat dengan sukarelawan lain (besama-sama guru dan kakitangan sokongan sekolah). Wakil IKRAM Pahang memutuskan misi bergerak ke kawasan lain. Berkelanalah kami menyusuri Kg. Kertau, Kg. Nyak, Kg. Lubuk Lian sehinggalah ke Masjid Kuala Triang. Dalam perjalanan, kami singgah di mana-mana rumah yang terjejas yang mempunyai penghuni sambil menghulurkan bantuan. Keadaan cuaca dengan pancaran matahari memburukkan keadaan jalan. Kami seperti memandu di padang pasir. Jarak penglihatan terbatas. Sepanjang perjalanan sejauh 40 kilometer tersebut, terdapat tiga jalan yang digenang air.

Kawasan tersebut ditenggelami air kira-kira dua minggu. Bukan setakat rumah yang terjejas, malah mata pencarian seperti kebun pisang turut musnah. Ada juga penternak ikan sangkar yang rugi kerana ikan ternakan bebas berenang keluar dari sangkar. Keadaan elektrik masih tidak pulih sepenuhnya. Liputan telefon juga tidak memuaskan. Sebagai rekod, saya hanya terima mesej esemes yang dihantar oleh rakan sepejabat pada jam 2.30 pagi berikutnya. Dua belas jam lewat. Sebahagian kampung yang tidak menghadapi masalah elektrik pula berdepan dengan masalah ketiadaan air. Maka kami dapat melihat kelibat kumpulan sukarelawan lain dari NGO atau agensi kerajaan yang membawa set janakuasa atau lori bomba.Suatu hal yang menarik dan kami tidak dapat melupakannya. Sebuah rumah kecil di tepi sungai. Kami lihat ada asap dari dapur kayu. Apabila kami menghulurkan set dapur gas – pemiliknya berkata, “Makcik tak pernah guna dapur gas. Makcik tidak pandai. Ambil semula. Bagi pada orang lain.” Baginya, kami serahkan beras, gula, minyak masak, sardin, dan sedikit pakaian.

Agihan makanan dan pakaian selesai pada jam 3.30 petang. Pun begitu beberapa set dapur gas tidak habis diagihkan kerana sebahagian mangsa banjir menerima bantuan serupa daripada Tengku Muda Pahang di Sekolah Kebangsaan Kertau. Kami bergerak ke Temerloh, dan singgah di Masjid Warisan Kg. Chenor Lama pada jam 4.00 petang. Seusai jamak solat fardu Zohor dan Asar, kami meneruskan perjalanan untuk misi makan tengah hari. Kami dibawa oleh ketua misi (orang Pahang) ke medan selera ikan patin. “Medan selera ikan patin paling sedap,” ujarnya. Patin gulai tempoyak dijual dengan harga RM30 untuk kepala dan ekor, manakala RM20 untuk bahagian perut. Hal ini (makan nasi berlaku patin tempoyak) semacam pelengkap kepada orang yang merantau ke Temerloh, demikian adanya.

Kami tiba di pejabat Ikram Temerloh pada jam 5.20 petang. Kawasan tersebut juga dinaiki air sehingga tiga kaki. Saya tidak tahu apakah dengan keadaan ini akan melakukan jualan empat unit rumah dua tingkat seharga hampir RM800 ribu yang bertentangan dengan blok pejabat Ikram Temerloh ini. Setelah memindah barang-barang yang kami fikir wajar dimanfaatkan oleh Ikram Temerloh, kami beransur pulang. Jarum pendek jam di tangan saya menunjukkan angka enam. Lagi rakaman sepanjang misi di sini. Kami tiba semula di Putra Heights pada jam 12.15 malam. Barang-barang untuk kerja mencuci yang tidak diguna disimpan semula. Boleh jadi khidmatnya untuk misi bantuan yang lain pula.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *