0

Hijrah

Saudara Tamrin Ghafar merupakan anak kepada Tun Ghafar Baba. Terdahulu beliau menyertai AMANAH sebuah NGO yang ditubuhkan Ku Li. NGO tersebut sebagai sebahagian daripada manifestasi ketidakpuasan beberapa pemimpin dalam BN terhadap pencapaian dan pendekatan pemerintah mengurus beberapa isu negara. Terkini, saudara Tamrin Ghafar mengucapkan selamat tinggal kepada UMNO dan menyertai PAS. Penghijrahan itu ditegaskan tiada kena mengena dengan laku atau tidak laku beliau dalam BN. Menurut saudara Tamrin, sudah cukup baginya berada di tampuk kuasa menjadi Ahli Dewan Negara (MP) dua penggal dan (Ahli Dewan Undangan Negeri) ADUN selama sepenggal. Penyertaan beliau dalam PAS juga tidak mengharapkan apa-apa jawatan melalui pilihan raya.

Pemimpin datang dan pergi. Itu perkara biasa. Dalam perkembangan politik semasa, UMNO dan PAS dilihat sebagai parti yang dekat dengan orang Melayu. Kelebihan pada PAS adalah PAS tidak mengutamakan bangsa sebagai tunjang sesuai dengan penubuhannya mengangkat agama. Disebabkan di bumi bertuah ini Melayu sinonim dengan Islam seperti yang didefinisi dalam perlembagaan, tidak boleh tidak PAS dilihat sebagai alternatif terbaik penghijrahan mana-mana pihak yang sayangkan Melayu. Jika UMNO sayangkan Melayu dan berpolitik dengan matang, rakyat Kelantan tetap akan diberi hak berbentuk royalti minyak. Jika UMNO mahu membela Melayu, tidaklah JDA dengan Thailand lebih memberi kelebihan kepada negara jiran itu. Sepanjang 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, tidaklah pula Kelantan tertinggal jauh berbanding negeri lain. Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) terlebih dahulu dinaik taraf menjadi Majlis Bandaraya (dikenal sebagai MBRiKB) berbanding dengan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT).  Jika UMNO sayangkan Melayu, tidak wujud kerajaan dalam kerajaan dan penukaran royalti minyak kepada wang ehsan kepada Terengganu suatu ketika dahulu.

Minggu lepas selesailah teka-teki belanjawan negara 2013. Mengikut Laporan Ekonomi 2012/2013, hutang negara dijangka meningkat 10.1 peratus kepada RM502.4 bilion. Saya suka petik ulasan ringkas yang saya dengar di radio, “Memanglah tidak dinafikan bajet ini memberi banyak kelebihan kepada golongan miskin dan pertengahan. Tetapi kita musykil di mana sumbernya?” Saya menjawab pula secara spontan, “Pertama, kenaikan harga gula 20 sen sekilogram.” Mungkin kenaikan 20 sen ini tidak sangat dirungut ketika ini memandangkan kebanyakan mereka sedang gembira mendapat gula-gula bajet 2013. Orang muda dengan rebat RM200. Pada pandangan saya, rebat ini tidak memberi kesan besar kerana harga telefon 3G bukannya RM200. Orang bujang 21 tahun ke atas dengan BR1M 2.0 RM250. Nelayan dengan RM200. Petani dengan subsidinya. Kakitangan kerajaan dengan bonus satu bulan setengah gaji. Pembayar PTPTN yang konsisten dengan diskaun 10 peratus. Yang bayar PTPTN sekali gus diberi diskaun 30 peratus (saya dengar berita tivi), kemudian baca pula dalam akhbar 20 peratus. Mana satu yang betul?

Beberapa hari kemudian saya baca akhbar dan temui jawapan kedua. Pembayar cukai pendapatan yang lewat mengisytiharkan pendapatan akan didenda atau menghadapi hukuman penjara. Rujuk Berita Harian, 30 September 2012, halaman 19.  Apakah benar suatu hari nanti, kita akan membaca berita GST dilaksana sepenuhnya?  Maka setiap orang tidak terkecuali daripada membayar cukai. Semua restoran atau kedai makan akan menjadi seperti McD atau Pizza atau KFC. Pembeli membayar harga makanan berserta cukai. Caj perkhidmatan segala macam perkhidmatan ditambah caj cukai. Nama pun GST – cukai barangan dan perkhidmatan.

 

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *