0

GST

Karya terbaharu di akhbar mempunyai satu perkataan REM. Ketika editornya menilai karya ini, ditanya seperti ini, REM itu REMAJA? Saya balas esemes editor jam 1:36 pagi itu, ‘REM kiasan suatu yang menghururakan atau merosakkan.’ Karya tersebut dihasilkan tatkala massa menghadapi suatu siri unjuk rasa bagi menuntut sesuatu yang besar. Yang besar itu harapan. Pada akhir karya tersebut sengaja dilontarkan soalan, ‘Apakah dia dapat melihat harapan besar itu?’ Baca karya di sini

Dalam dunia serba di hujung jari, maklumat merayap dan menyusup dalam pengetahuan mereka yang memiliki gajet. Hanya kebanyakan yang hanya memiliki tivi memperoleh maklumat yang tidak berimbang. Sebab itu hari ini dikhabarkan kerajaan yang memerintah adalah parti luar bandar. Mereka mendapat sokongan kuat majoriti penduduk pedalaman yang tidak didedah pada internet. Orang-orang di kampung yang selesa dengan kehidupan mereka hanya berfikir kebaikan kerajaan dengan hanya melihat wang melalui bantuan BRIM misalnya. Seolahnya RM500.00 itu cukup untuk belanja lima tahun berikutnya. Orang-orang pedalaman skeptikal dengan perubahan. Mereka lebih gemar bersikap membalas budi dan tidak kritikal untuk melihat horizon kepimpinan yang lebih penting. Mereka tidak kisah soal rasuah dan ketirisan. Mereka tidak kisah soal hutang negara. Mereka tidak kisah soal sumber kewangan kerajaan. Maka dengan itu mereka pun bersungut pula apabila kemudiannya kerajaan mengenakan cukai baharu. Bagi sebahagian orang pedalaman yang lebih terbuka seperti penduduk bandar, tahniah diucapkan atas keberanian anda.

Ekoran kemenangan menguasai kerajaan pusat, sekali lagi kita dengar cerita cukai. Dalam persepsi kerajaan, cukai baharu yang namanya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah cukai yang adil. Semua orang tidak kira miskin mahu pun kaya perlu membayar cukai. Cukai baharu dibaca kali pertama pada tahun 2009. Kemudian dibaca kali kedua pada April 2010. Hasrat pelakasanaan GST pada tahun ini dibayangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagaimana dilaporkan Business Times, 18 Mei 2013. Dilaporkan Dato’ Seri Idris Jala berkata, “GST menjana pendapatan RM27 bilion jika dilaksanakan pada kadar 7 peratus.” Tidak boleh tidak semua rakyat akan terlibat dalam penstrukturan pendapatan kerajaan ini sama ada suka atau tidak. Golongan yang berpendapatan sederhana di bandar pasti terkesan. Mereka yang tinggal di ceruk kampung pun akan semakin kecil nilai wang mereka. Barang akan naik harga. Tiada yang turun harga. Soalnya apakah kerajaan popular 47 peratus ini berjaya melaksanakan GTS ini? Maksud saya dilaksanakan dengan penuh meyakinkan sambil mengekalkan sokongan rakyat? Atau GST ini bakal bakal diterjemah sebagai pengurangan undi dalam Pilihan Raya Umum ke-14? Inilah antara cara meraih semula belanja yang dicurahkan sepanjang kempen PRU ke-13. Ia juga sebahagian daripada cara melaksanakan manifesto.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *