0

CSR MAB

Program Sukarelawan Sukan GTC MAB

Tag Sukarelawan

Sukan GTC Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) berlangsung pada 24 sehingga 26 April 2015. Saya daftar sebagai Sukarelawan sukan GTC dan bertugas pada 25 April sahaja. Kompleks MAB terletak bersebelahan stesen Monorel Tun Sambanthan, dirasmikan pada 11 September 1998. Memulakan perjalanan dari Seksyen 7 Bandar Bangi, saya ke Hentian KTM UKM. Saya perlu menaiki tiga jenis tren iaitu komuter KTM (UKM – Bandar Tasek Selatan), Rapid KL (Bandar Tasek Selatan – Hang Tuah), dan monorel (Hang Tuah – Tun Sambanthan). Kos pengangkutan pada ketika ini adalah RM2.40, RM1.70, RM1.60 masing-masing. Pada asalnya saya membeli tiga tiket secara berasingan kerana tidak tahu Rapid KL dan monorel diintegrasi. Ketika perjalanan balik, barulah saya membeli dua tiket seperti yang dicadangkan oleh polis bantuan di stesen Hang Tuah. Kos tren pergi balik adalah sebanyak RM11.40. (Saya belum menjadi orang banda raya Kuala Lumpur sepenuhnya).

mab1
Kami disambut oleh seorang staf MAB cawangan Ipoh. Acara sukan GTC MAB merupakan acara tahunan. Saya ditugaskan membantu pengadil pertandingan ping pong, En. Muhamad. Beliau berasal dari Cheras. Sentiasa berkunjung ke Kompleks MAB pada setiap hari Selasa, setiap minggu. Saya tidak pula bertanya aktiviti rutin En. Muhamad pada hari tersebut. Beginilah gambaran gelanggang ping pong bagi orang kurang upaya penglihatan (OKUP).

ping pong

ping pong

  1. bola ping pong ada guli besi. Jadi pemain hanya teka bola melalui bunyi.
  2. pengadil (juga OKUP), juga mendengar bagi menentukan bola kena pemukul atau tangan, pukulan balas pertama kuat atau biasa.
  3. jaring diterbalik. Maknanya bahagian atas jaring bagi pemain normal berada di bawah.
  4. bola ping pong hanya perlu melepasi bawah jaring. Dikira salah (fault) jika melepasi jaring seperti permainan orang biasa.
  5. kilas servis (smash) dibenarkan pada pukulan balas kedua/tiga.

Bagaimana agaknya jika kita yang normal bermain dalam keadaan gelap seperti OKUP? Jawapan ini diperoleh dari kawan-kawan yang cuba bermain goalball. “Rasa pening. Tidak pasti cara menentukan target yang betul.” Selain ping pong, terdapat juga sukan domino dan goalball.

goalball

goalball

Perkara baharu yang saya pelajari sepanjang berada di MAB.
1. Tidak semua OKUP buta. Kurang upaya penglihatan juga meliputi rabun. Berikut definisi rasmi mengikut garis panduan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kurang Upaya Penglihatan bermaksud buta kedua-dua belah mata ATAU buta di sebelah mata ATAU penglihatan terhad di kedua-dua belah mata ATAU lain lain gangguan penglihatan kekal. Kurang upaya penglihatan boleh dibahagi kepada:-
• Terhad bermaksud penglihatan lebih teruk dari 6/18 tetapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang dari 20 darjah dari fixation.
• Buta bermaksud penglihatan kurang daripada 3/60 atau medan penglihatan kurang dari 10 darjah dari fixation.
** Kurang daripada 3/60 ialah Counting Fingers (CF), Hand Movement (HM), Perception of Light (PL) dan No-Perception Light (NPL).
Lain-lain gangguan penglihatan kekal (hanya boleh disahkan oleh Pakar Oftalmologi)

2. Menu OKUP
Kebanyakan menu khususnya ayam, daging, dan ikan disediakan dalam bentuk tanpa tulang (fillet).

Kongsi artikel ini..Share on Facebook4Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *