0

Ceritaku 1

Saya perlu ke Ibu Pejabat di Sentul. Mesyuarat dijadual pada jam 2.30 petang. Saya bertolak dari Cyberjaya jam 12.30 tengah hari. Tidak sempat makan tengah hari. Saya memandu ke hentian komuter UKM. Kenderaan di letak di kawasan letak kereta percuma yang sentiasa penuh. Bagi memudahkan urusan, saya pesan tiket pergi balik UKM – Sentul. Harganya RM7.60. “Minta resit, tuan.” Pegawai di kaunter tidak dapat memberi resit sambil berkata, “Nanti simpan sahaja tiket.” Mungkin kebetulan ketika ini mesin di terminal tidak berfungsi. Jam 1330 Azan berkumandang. Sedang ketibaan tren berikutnya jam 1336. Saya ambil keputusan bersolat Zohor dahulu. Saya congak kira lima minit sempat untuk saya selesaikan kewajipan solat. Masuk rakaat kedua, tren sudah sampai. Maka terlepaslah satu tren. Yang berikutnya jam 1402. Ketika tiba di Bandar Tasik Selatan, jam sudah menjadi 2.25 petang. Saya memaklumkan ahli kuorum mesyuarat akan kelewatan saya. Tiba di Putra jam 2.40 petang. Tetapi saya terpaksa pula menunggu tren lain ke Sentul. Jam 3.00 baharulah tiba. Dipendekkan cerita, saya sampai jam 3.30 petang.

Pengerusi mesyuarat memaklumkan saya, “Sebenarnya tidak cukup ahli. Bos tidak datang kerana rumahnya dipecah masuk.” Dia sebut dua tiga nama lagi ahli kuorum yang tidak dapat hadir. Maka mesyuarat bertukar menjadi cakap-cakap ringan. Pengurus projek yang menyediakan slaid Power Point diarahkan menghantar emel. Slaid itu akan diteliti dan akan dibincang dalam mesyuarat lain. Cakap ringan-ringan itu pun berlarutan juga sehingga masuk Asar. Semuanya berkisar sekitar projek yang sedang dibuat. Tiada basa-basi untuk hal peribadi dan lain-lainnya. Rakan-rakan lama yang saya kenal dalam pejabat tersebut semuanya sibuk menghadap masalah kerja masing-masing. Mereka memang tiada waktu untuk berbual kosong. Saya kira keadaan itu sama seperti saya dua tahun dahulu. Memiliki kerja yang banyak dengan waktu sedikit. Sehingga kadang-kadang terpaksa duduk di pejabat sehingga jam 2.00 pagi atau lebih. Yang paling saya ingat, pengurus projek saya menemani saya sehingga jam 5.00 pagi. Padahal pada siangnya beliau terpaksa hadir mesyuarat di Putrajaya jam 9.00 pagi.

Tekanan kerja seperti ini menyebabkan saya memilih beralih angin. Saya memohon untuk ditempatkan di pusat data. Dengan beberapa keistimewaan dari segi bayaran gaji dan elaun. Saya tidak menghadapi kesukaran kerana asasnya sudah ada. Hanya satu peringkat lebih tinggi daripada penelitian kod-kod dan bahasa pengaturcaraan yang dibuat dalam localhost (PC/laptop). Di pusat data, saya hanya perlu pastikan source code diletak di tempat yang betul. Portal di deploy sehingga orang awam dapat mengakses dari luar. Fungsi lain tentulah lebih terarah kepada penyelenggaraan server, pemantauan kesediaan portal, backup, DNS pointing dan lain-lain yang berkaitan dengan server. Disebabkan pusat data beroperasi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu termasuk hari cuti umum, itulah waktu untuk menggandakan perolehan. Terutama jika bertugas pada hari cuti umum. Hasilnya raya pertama dan kedua Idulfitri 2011, saya bertugas. Kemudian keadaan ini tidak lama. Kadang-kadang orang lain nampak potensi diri kita lebih daripada kita sendiri yakin kepada potensi diri.

Majikan mendapat projek baharu. Dan melibatkan perkara baharu. Bukan lagi framework dan teknologi pengaturcaraan semasa projek-projek yang telah ditangani. Saya ditanya sama ada berani atau tidak? Bersedia atau tidak? Saya mensyaratkan elaun syif tidak dipotong. Majikan bersetuju. Saya syaratkan beri peluang kepada saya untuk belajar. Paling tidak satu bulan. Majikan setuju. Pada bulan pertama hingga ketiga, setiap hari ke pejabat (client site), saya boleh menuntut elaun perjalanan. Ini menjadikan elaun secara keseluruhannya hampir menyamai gaji asas. Tetapi pada bulan keempat, majikan menyatakan client site sudah menjadi home-based. Tiada lagi tuntutan elaun perjalanan harian boleh dibuat. Dalam pengurusan risiko, inilah situasi yang digelar pekerja dengan majikan ibarat mentimun dengan durian. Sebagai pekerja, kamu boleh mengubah sikap kamu terhadap ketetapan majikan atau mencari kerja lain. Bayaran yang saya terima untuk projek baharu menjadi biasa-biasa semula. Tiada lagi kelebihan dari segi peluang kerja hari cuti umum. Tiada lagi ruang mengecap bayaran dari kerja lebih masa seperti berada di pusat data. Tetapi saya tetap dicemburui oleh rakan sejawat kerana bayaran saya dikatakan masih lebih baik berbanding dengan bayaran yang mereka dapat. Mungkin mereka terlupa satu sifir lain iaitu bayaran sama dengan tanggungjawab. Hal inilah yang menyebabkan saya masih belum berupaya membentuk satu legasi yang mantap. Sudah tiga orang tidak dapat bertahan dalam situasi genting projek baharu ini.

Saya bercakap soal legasi kerana saya mula berfikir untuk meninggalkan mereka. Dan mereka pula harus sanggup melakukan aliran kerja mengikut langkah demi langkah yang betul. Sentiasa siaga menghadapi keperluan awam kerana di sini kami menjaga operasi harian paling minimum tujuh ribu orang! Mereka ini mungkin berhajat untuk berurusan dengan agensi A atau B atau C. Dan semua mereka dengan sikap skeptikal, semua urusan online mesti pantas. Mesti cekap. Mesti cepat. Mesti boleh diseelsaikan dalam tempoh satu jam! Mereka tidak pernah tahu kalau-kalau pegawai di agensi A sedang bercuti. Mereka tidak pernah ambil peduli, infrasutruktur sistem sedang dikemaskini atau dibaiki. Mereka tidak pernah tahu ada serverserver sistem yang kadangkala gagal berkomunikasi. Mereka tidak pernah peduli penyedia perkhidmatan sokongan hadapai masalah teknikal. Dan itu bukan salah mereka. Mereka tidak tahu! “Siapa yang sanggup masuk jam 7.30 pagi dan pulang jam 4.30 petang setiap hari?” Tiada tangan yang diangkat. Kepala masing-masing tunduk.

Usai perbincangan ringan bersama pengerusi mesyuarat, saya singgah Asar di Masjid Al-Hidayah. Berbeza dengan dua tahun lalu. Parkirnya berbumbung dan berkipas. Mesin ATM bank Islam diletak di sebelah pos jaga. Ustaz Nan masih lagi menjadi Imam Muda. Bilal Kofli masih lagi menjadi Bilal. Yang tidak kelihatan Imam Zul. Yang tidaksaya nampak Iwan Dangdut (meminjam kata-kata Imam Zul) yang kini popular dengan nama Iwan Imanshah. Barangkali Imam Zul ada hal di luar kawasan. Boleh jadi Iwan Imanshah ke Indonesia menguruskan perniagaan di sana. Seorang pemuda kelainan upaya masih istiqamah berjamaah. Seorang imigran Indonesia berambut panjang diikat rapi masih dengan amalnya mengisi tabung masjid apabila selesai solat. Encik Kamal? Barangkali Encik Kamal sudah berpindah ke perumahan lain. Imam Othman? Mungkin dia pun sudah berpindah ke tempat lain. Ditukarkan tempat bertugas. Dan saya seperti biasa, seusai solat Asar berjalan kaki ke stesen KTM Lorong Hj. Salleh. Meyusur Pasar Sentul, Sentul Boulevard, Klinik Sentul, Masjid Lorong Hj. Saleh. Saya ambil masa 7 minit menapak dari masjid al-Hidayah ke hentian KTM Sentul.

Sebidang tanah setentang bangunan bank CIMB sehingga hujungnya bank Public Bank masih kekal sebagai simpanan hijau. Cuma landskapnya cacat dengan sebatang dua pokok tumbang. Mengapa pokok tumbang ini tidak diganti dengan pokok lain? Apakah kayu pokok ini tiada nilai? Menyusur jalan hadapan klinik Sentul, masih juga sama. Sampah dilonggok tepi jalan tanpa tong sampah rasmi DBKL. Seekor anjing sibuk mencari habuan. Kalau nasibnya baik, dapatlah dia sedikit makanan. Di lorong itu masih lagi sama. Dua buah kedai makan masih gagah berdiri. Sebuah kedai gunting india masih utuh. Stesen minyak Esso sudah bertukar wajah menjadi Petron. Ini hasil penjenamaan semula. Sebuah premis wakil jualan Perodua sudah tutup. Pada cerminnya tertera maklumat untuk dibeli atau disewa. Di premis inilah wang tempahan kereta yang tidak jadi saya beli lebur. Mungkin itulah wang yang mereka ambil tetapi disumpah seranah oleh orang sepertiku. Semoga bukanlah asbab doaku itu jadi punca mereka tidak berniaga di situ.

Saya menaiki tren jam 5.52 dan turun di Putra lapan minit kemudian. Jam 6.02 petang, tren ke Sungai Gadut tiba. Saya tiba di hentian UKM jam 6.50 petang. Saya keluar dan seperti biasa pegawai kaunter berdiri sebagai menggantikan mesin yang rosak. Ketika tiba giliran saya, saya tidak menghulurkan tiket kepadanya. “Saya mahu simpan.” Tetapi dia mahu melihat juga tiket tersebut. Dia mungkin pegawai sama yang saya minta resit jam 1.20 petang tadi. Resit ini akan diguna dalam tuntutan elaun perjalanan bulanan. Berapa? Cyberjaya – hentian UKM (25 km = RM17.50); Tol Sungai Ramal RM1.00; tambang tren RM7.60. RM26.10 semuanya. Dia hanya menyemak tiket dan kembalikannya kepada saya. Saya pasti, jika saya berkederaan ke Sentul jam 7.00 petang mungkin masih bersiput-siput di hadapan Hotel Nirvana. Macetnya mungkin tidak membolehkan saya menaip cerita sepanjang ini. Saya mungkin tiba di rumah jam 8.30 malam dan keletihan. Adalah tidak berbaloi mendapat letih dengan bayaran lebih tinggi kira-kira RM59.60. Oh! Sungguh ralit bercerita. Jam sudah 2.40 pagi.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *