0

Bayaran online

Saya memulakan tugas dalam operasi permohonan dalam talian secara rasmi pada 15 September 2011. Sehingga artikel ini ditulis, urusannya melibatkan 1.5 juta pengguna dengan kadar perpindahan wang secara purata RM10 000 ringgit sehari. Pada satu fasa (1 Jun – 31 Dis 2012), terdapat promosi besar-besaran dengan penglibatan hampir 887000 orang. Angka ini beberapa peratus sahaja kurang dari target asal promosi iaitu satu juta pengguna.

Sekian banyak transaksi dengan hampir 95 peratus adalah transaksi berbayar, terdapat beberapa perkara yang menarik perhatian. Saya ringkaskan sebagai perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ketika menjalankan urusan berbayar online. Bayangkan jika anda membuat bayaran dan duit dipindah dari akaun anda, tetapi rekod menunjukkan yang sebaliknya. Adakah anda akan kecewa? Tidakkah anda rasa kehilangan wang dan marah? Jawapan yang pasti, ya!

Pertama, sebagai pengguna (baca pembayar), kita perlu memahami keperluan sistem. Apakah pelayar internet terbaik yang dinyatakan? Hal ini dinyatakan dengan jelas di bahagian footer sesebuah laman web. Kedua, fahami keperluan software yang perlu ada dalam komputer atau laptop. Sesetengah software seperti AdobeReader perlu sesuai dengan keperluan sesetengah pelayar internet. AdobeReader membantu menterjemah kod bahasa pengaturcaraan untuk paparan terbaik dalam format PDF. Hal ini disebut sebagai form rendering. Platform .Net yang dirangkaikan dengan Windows Server, Sharepoint lebih mudah diolah oleh Internet Explorer. Bagi kebanyakan sistem yang menggunakan platform .Net masalah akan berlaku apabila borang dibuka dengan menggunakan Firefox, Chrome dan pelayar internet lain.

Ketiga, menjadi praktik terbaik apabila seseorang tidak membenarkan windows popup. Hal ini kerana modus operandi penyebar virus atau malware dalam rangkaian internet adalah melalui kaedah popup windows. Namun begitu, dalam transaksi online berbayar perkara ini akan menyebabkan urusan pembayaran tidak lancar. Di samping menetapkan langkah keselamat ini, perlu ditambah juga laman web dalam kategori laman web yang dipercayai (trusted sites). Berikut contoh untuk menambah laman web yang dipercayai. Penetapan ini dibuat kerana ketika sampai ke ‘pintu’ bayaran (payment gateway), biasanya sistem dibina dengan memaparkan popup windows. Pembayar perlu memastikan alamat URL ketika proses pembayaran ini mempunyai huruf s pada hujung http. Huruf s dalam https bermaksud kita berada dalam zon selamat. Ia bukan laman web yang dibina untuk tujuan penipuan (internet phising). Sesetengah sistem membuat deklarasi seperti berikut: You’re in secured zone / Anda berada dalam zon selamat.

Keempat, setiap transaksi berbayar dihubungkan ke antaramuka (user interface) bank-bank berdaftar. Tidak kira kita mempunyai akaun perbankan internet biasa atau menggunakan kad kredit, proses pembayaran memerlukan kod pengesahan (TAC). Boleh jadi kod TAC yang dihantar ke telefon bimbit dimasukkan dengan salah. Apabila terjadi hal seperti ini, bank provider akan melaporkan status bayaran tidak berjaya. Kod transaksi ini akan disimpan dalam log proses transaksi sebagai gagal. Rata-rata novis dalam bidang IT tidak mengetahui perkara ini. Mereka akan dengan mudah kembali kepada borang transaksi sama dengan cuba membuat bayaran kali kedua. Bayaran kali kedua berjaya tetapi akhirnya rekod sebenar tidak dikemas kini dalam akaun pengguna. Terpaksalah pembayar menghubungi pegawai perkhidmatan bank menyemak semula status bayaran. Isu ini kemudian dirujuk pula kepada personel pangkalan data. Jika aduan ditangani dengan cepat dengan maklumat bayaran yang lengkap, cepatlah kes selesai. Jika sebaliknya, ia memakan masa dua hingga tiga hari. Rumusan perkara keempat ialah usah malas mengisi semula borang dari langkah pertama sekiranya bayaran kali pertama gagal. Bagaimana jika dalam antaramuka bayaran tersebut hanya ada butang Bayar? Contohnya bil TNB. Jawapannya, sila bayar pada hari berikutnya.

Kelima, transaksi berbayar menyediakan pilihan kepada anda untuk mendapatkan resit maklumat bayaran dan resit. Pada payment gateway disediakan ruang (secara pilihan) untuk pembayar memasukkan alamat emel. Perkara ini perlu dimanfaatkan kalau-kalau setelah bayaran dibuat, status bayaran tidak dikemas kini dalam bil semasa. Apabila bayaran berjaya pula, terdapat lagi pilihan untuk cetak resit bayaran. Semua orang boleh mencetak resit ini termasuk mereka yang tidak menyambung komputer ke pencetak. Anda hanya perlu install CutePDFWriter (http://www.cutepdf.com/).

Keenam, semasa proses bayaran boleh jadi kod keselamatan (TAC) sampai selepas satu minit. Sepanjang tempoh tersebut perlu dielakkan sebarang proses memuat semula halaman (reload / refresh – dengan menekan butang F5). Hal ini akan mengganggu proses dalam payment gateway sehingga memungkinkan pembayaran tidak berjaya sama sekali. Begitu juga sekiranya berlaku kelewatan proses dalam payment gateway ke laman web transaksi asal dibuat. Bagaimana proses di belakangnya berlaku? Laman web A menghantar maklumat ke payment gateway. payment gateway berhubung pula dengan bank provider. bank provider respon kepada payment gateway. Dan akhir sekali, payment gateway respon semula ke laman web A. Penyedia perkhidmatan payment gateway yang terkenal adalah MOLPAY, MEPS, MIGS, MyClear, LAVA, PayPal, dan Cybersource.

Ketujuh, semua perkara diurus dengan baik. Capaian internet laju. Kod TAC betul. Resit dapat dicetak. Tetapi status bayaran masih tidak dikemas kini. Bagi sesetengah penyedia sistem bayaran, kemas kini bayaran hanya dibuat setelah mendapat laporan lengkap dari bank. Sebab itu terdapat kenyataan seperti, “Rekod bayaran hanya dikemas kini sehari selepas bayaran dibuat.” Jadual pelaporan dari bank biasanya selepas jam 12 pagi hari berikutnya. Data dihantar secara pukal dalam format UNL. Scheduler server laman web utama bayaran mengimport data secara automatik mengikut waktu yang disetkan. Bagaimana pula dengan perkara ini? “Bayaran yang dibuat pada hari Jumaat akan dikemas kini pada hari bekerja berikutnya.” Hal ini bermakna data bayaran dari bank dimasukkan secara manual. Sekurang-kurangnya dengan kekangan infrastruktur atau kemampuan menyediakan sistem secara automatik, ada kerja bagi mereka yang dipanggil kerani data.

Tambah laman yang dipercayai

Tambah laman yang dipercayai

Cetak guna CutePDF

Cetak guna CutePDF

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *