0

Batuk

pdsa

Lobi PDSA

Saya masih lagi batuk. Dua minggu sudah, hari pertama batuk dengan sedikit selsema saya masuk ke PDSA. Betapa tebal baju sejuk yang dipakai kalah pada kesejukan sistem penyejukan bilik server. Sebelum masuk, kami melalui kawalan keselamatan yang diperketatkan. Jika lima bulan dahulu, saya boleh sahaja membawa masuk kereta ke dalam. Saya akan parkir di tepi bagunan bersebelahan Bahagian Pengurusan Hartanah/Bahagian Biro Pengaduan Awam. Tetapi insiden ‘ninja Malaysia’ yang ditembak mati dahulu mengubah segalanya. Kereta tidak lagi dibenarkan masuk kecuali yang mempunyai pelekat kereta. Selain meninggalkan MyKad, kami perlu membawa surat sokongan. Di kaunter, gambar kami dirakam. Pintu kawalan elektronik untuk keluar dari kaunter pendaftaran masuk adalah antara ciri keselamatan tambahan yang lain.

Malam itu, kami masuk jam 8.20 malam. Sebelumnya bersolat Maghrib di Masjid Putra dan makan malam di Medan Selera berhampiran. Kami ditugaskan untuk backup data portal. Sementara menunggu data yang dipindah ke cakera simpanan luar, saya mengambil masa berisyak di surau. Suranya di tingkat empat di blok sebelah. Pergerakan dalam kawasan bangunan adalah bebas tetapi tidak bebas sepenuhnya. Kamera litar tertutup ada di beberapa tempat sepanjang perjalanan ke surau. Sehingga jam 12 malam, baharu 20 peratus data dipindahkan. Selang beberapa rak dari tempat kami bekerja, terdapat tiga orang dalam pasukan teknikal syarikat lain. Salah seorangnya perempuan. Dalam fikiran saya, “Boleh tahan juga perempuan ini kerja.” Mungkin dia gembira dengan kerja seperti ini. Kerja hingga larut malam yang biasanya dipandang tidak elok pada kaca mata orang-orang kampung. Sahabat saya yang melanggan khidmat internet melayari internet. Manakala saya tidak tahan dengan udara di bilik ke luar. Pada jam 5.20 pagi baharulah kami beredar. Jumaat itu kami diberi kelonggaran masuk kerja selepas Jumaat.

Disebabkan saya masih batuk, doktor pesan pada saya untuk buat ujian X-ray. Pesan itu dititipkan ketika saya mengambil ubat pada 5 Mac. Dan kadang-kadang ketika batuk, saya cuba lihat hidung tanpa mengguna cermin. Saya masih nampak hidung sendiri. Kata orang-orang tua, “Jika tidak nampak, bermakna kematian sudah dekat.” Apakah benar dakwaan ini? Tetapi orang tua-tua punya petua berdasar pengalaman hidup.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *