0

Barzakh

notis20032014Ayat 42 surah Az-Zumar menceritakan darihal roh ketika seseorang manusia tidur. Roh itu dalam genggaman Allah. Persoalan, adakah roh orang yang tidur boleh bertemu dengan roh orang mati? Jawapannya ya. Pertama berdasar ayat dalam surah Az-Zumar yang disebutkan. Mafhum ayat ini, “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya dan jiwa orang yang tidak mati: Dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan.…”

Berdasarkan hadis, diriwayatkan saidina Abbas R.A bapa saudara nabi S.A.W bermimpi bertemu Abu Lahab. Dalam mimpi itu, Abbas R.A bertanya kepada Abu Lahab, “Apakah keadaanmu selepas kematianmu?” Abu Lahab menjawab, “Aku diseksa oleh Allah dan mendapat keringanan pada hari Isnin.” Ulama hadis mentafsir keringanan dalam hadis ini berpunca dari peristiwa Abu Lahab bergembira dengan kelahiran anak saudaranya. Pada hari kelahiran baginda, hamba Abu Lahab, Muthaibat Al-Aslamiah membawa khabar gembira tersebut. Oleh sebab terlalu gembira, Abu Lahab memerdekakan sahaya perempuan tersebut. Bentuk keringanan yang diperoleh Abu Lahab berupa keluar air dari ibu jari setiap hari Isnin.

Dalam hadis yang lain, dua orang yang dipersaudarakan (dalam peristiwa hijrah ke Madinah) iaitu Sho’ab dan Auf Bin Thuwaibah – semasa hidupnya berkata, “Mana-mana antara kita yang mati dahulu, dia akan muncul dalam mimpi (yang masih hidup).” Ditakdirkan Sho’ab mati terlebih dahulu. Suatu malam, Auf bermimpi bertemu Sho’ab dalam keadaan terdapat kesan hitam (seperti bekas rantai) di leher Sho’ab. Lalu Auf bertanya, “Apakah lingkaran hitam di lehermu?” Sho’ab menjawab, “Ini adalah kesan hutangku pada seorang Yahudi. Ketika aku hidup, aku meminjam 10 Dinar dan belum sempat membayarnya. Engkau cari dinar itu dalam tempat simpanan anak panahku.” Lalu Auf mencari tempat simapanan anak panah tersebut di rumah Sho’ab. Auf kemudiannya berjumpa dengan Yahudi yang disebut dalam mimpinya. Dia bertanya, “Benarkah sahabatku Sho’ab ada meminjam daripadamu?” Si Yahudi tersebut menjawab, “Dia meminjam beberapa dinar, tetapi aku menghalalkannya.”

Alam barzakh merupakan perantara alam dunia dan akhirat. Alam kubur (mengikut istilah nusantara) sebahagian daripada barzakh. Bermaksud mereka yang mati tetapi tidak dikuburkan tetap berada dalam barzakh. Suatu hari nabi bermimpi dipimpin oleh dua orang pemuda. Semasa dalam perjalanan baginda menemui beberapa peristiwa. Pertama, melihat orang yang ditusuk rahangnya dengan besi. Setiap kali rahangnya dikembalikan ke bentuk asal, dia ditusuk lagi sehingga hancur rahangnya. Kedua, seorang lelaki yang terlentang dihentak kepalanya dengan batu berulang kali setelah kepalanya kembali ke bentuk asal. Ketiga, seorang yang berenang dalam sungai darah. Setiap kali dia cuba naik, dia dilontar dengan batu sehingga jatuh semula. Keempat, seorang lelaki dan seorang perempuan di dalam tungku. Cerobongnya sempit. Dari bahagian bawah tungku tersebut tersembur api. Setiap kali mereka melarikan diri, mereka jatuh semula. Kelima baginda bertemu dengan sebuah pokok yang rendang. Di bawah pokok itu ada seorang tua dan seorang kanak-kanak. Kemudian ada orang cuba membakar mereka. Orang tua dan kanak-kanak itu lari ke atas rumah yang berada di atas pokok tersebut. Kemudian baginda dibawa naik ke rumah yang lebih tinggi. Hal ini disebut dalam satu hadis riwayat Samurah bin Jundub, “Pada suatu hari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya kepada kami, ‘Apakah ada di antara kalian yang bermimpi?’ ‘Tidak ada,’ jawab kami. Beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Malam tadi aku bermimpi didatangi dua lelaki. Keduanya memegang tanganku dan membawaku ke bumi yang disucikan…”

Rumusan daripada hadis yang panjang ini seperti berikut. Orang yang ditusuk besi pada rahangnya adalah seksa bagi pembohong. Orang yang ditimpakan batu pada kepalanya adalah orang yang diajar al-Quran tetapi dia tidur tidak membacanya pada malam hari dan tidak mengamalkannya pada siang hari. Orang yang berenang dalam sungai darah adalah pemakan riba. Lelaki dan wanita dalam tungku bernyala adalah penzina. Orang tua di bawah pokok adalah Nabi Ibrahim ‘alaihissalam. Kanak-kanak yang bersamanya adalah anak-anak orang Islam. Lelaki yang membawa api adalah malaikat Malik, penjaga neraka. Rumah di atas pokok adalah rumah orang-orang beriman secara umum. Manakala rumah yang lebih tinggi adalah rumah para Syuhada. Setelah kedua-duanya mengenalkan diri mereka sebagai Jibril dan Mikail, baginda diarah untuk mendongak ke langit. Baginda nampak istana yang indah dalam gumpalan awan. Malaikat berkata kepadanya, “Itulah tempatmu.”

Betapa gambaran azab ini menggerunkan setiap mukmin. Kita diajar oleh nabi agar berlindung dari azab ini. Antara amalan yang dianjurkan: 1. Membaca surah al-Mulk sebelum tidur. 2. Membaca doa perlindungan dalam solat selepas tasyahhud akhir.

Antara doa yang dianjurkan seperti berikut:

Doa Sebelum Salam 1

Doa Sebelum Salam 1

doa2

Doa Sebelum Salam 2

Rujukan: Kitab Ar-Ruh, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *