0

5 jenis orang bersolat

Sheikh Ali Soleh

Sheikh memulakan kuliah dengan berkata, “Bersyukur kita kerana masih dihidupkan Allah setelah dimatikan. Doa bangun tidur yang kita baca tidak mengandungi kalimah tidur, tetapi kalimah mati. Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami.”

Kemudian sheikh berkongsi rahsia tidur orang yang berwuduk. Katanya, “Roh orang wuduk sebelum tidur naik menembusi langit ketujuh. Roh itu sujud di hadapan Allah. Sepanjang tidur, ada malaikat duduk di dada sambil berdoa: ‘Ya Allah, ampunilah dia. Rahmatilah dia.’ Sehingga orang itu bangun semula. ”

Kemudian sheikh berkongsi kisah dosa manusia. Bahawa manusia lupa akan dosanya. Tetapi Allah tidak pernah lupa. “Beberapa hari lalu diadakan pesta tahun baru di Jakarta. Berlaku banjir besar di Jakarta. Sebelum ini banjir hanya berlaku di kampung orang miskin. Sekarang banjir di kampung orang kaya. (Apakah ini tidak bermaksud banjir itu disebabkan maksiat kepada-NYA?).

“Satu lagi kisah yang baru terjadi di Syiria. Seorang lelaki tua mempunyai empat anak. Rumahnya diserbu tentera Bashar. Tentera itu mengikat anak-anaknya dan mahu membunuh mereka. Dia merayu sambil mencium kaki tentera agar tidak dibunuh semua. Jika mahu, jangan dilakukan di hadapannya. Tetapi rayuan itu tidak diendahkan. Semua anaknya ditembak di hadapan matanya. Orang kampung datang memberi takziah. Dia tidak mahu menerima takziah. Lalu diceritakan kisahnya.” 

Sheikh menyambung kisah lelaki tua itu, “Kata lelaki itu, mungkin ini kaffarah (balasan) untuk dosaku. Dahulu aku tentera di zaman bapa Bashar. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1982. Aku masuk ke sebuah rumah. Dalam rumah itu terdapat seorang wanita tua bersama empat anak. Aku mengikat keempat-empat orang anaknya. Wanita itu merayu sambil mencium kakiku. Tetapi aku tidak melayan rayuannya. Aku menembak mereka di hadapan wanita itu. Aku redha kematian anak-anakku kerana aku lebih takut seksaan di akhirat.”

Sheikh memulakan tajuk perbincangan dengan membaca firman Allah surah al-Maa’uun. Mafhumnya, “Celakah bagi orang yang bersolat. Iaitu orang yang lalai dalam solatnya.”

“Di sini, Allah menggunakan wail. Ahli tafsir mengatakan wail ialah nama kampung dalam Jahannam. Seksanya tujuh kali ganda seksaan Jahannam. Tetapi saya tidak melihat kepada ancaman semata-mata. Ada rahmat Allah di sini. Rahmat itu tersembunyi dalam kalimah ‘an.”
Sheikh menerangkan beza penggunaan kalimah‘an dengan fii. Ujarnya, “Jika Allah gunakan fii sholaatihim, maka semua orang yang bersolat masuk neraka. Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma mentafsirkan ‘an sholaatihim saahuun sebagai orang yang lalai dalam solat dengan melengah-lengahkan solat. Misalnya diadakan mesyuarat hampir waktu Asar. Mesyuarat habis hampir waktu Maghrib. Kemudian solat ditunaikan secara terburu-buru di akhir waktu tersebut. Atau seorang perempuan yang sibuk dengan shoppingnya. Shopping pula waktu Zohor. Sibuk membeli barang dan bimbang barangnya hilang (Jika solat di surau pusat beli belah). Lalu ditunda solat sehingga sampai di rumah. Tetapi apabila tiba di rumah, waktu Asar mendekat. Maka terburu-buru dia solat Zohor.”

Lima golongan yang bersolat

  1. Mu’aqab: Wuduk tidak sempurna. Rukun dan wajib solat tidak sempurna. Mu’aqab bermaksud yang diseksa.
  2. Muhaasab: Wuduk sempurna. Rukun dan wajib solat tidak sempurna. Muhaasab bermaksud yang dihisab.
  3. Mukaffara ‘anhu: Wuduk sempurna. Ketika solat sentiasa mujahadah melawan was-was yang dibisikkan syaitan. Mukaffara ‘anhu bermakna yang diampuni dosa.
  4. Mutsaab: Wuduk sempurna. Rukun dan wajib solat sempurna. Khusyuk. Mendapat kelazatan solat. Mutsaab bererti yang diberi pahala.
  5. Muqarrab: Wuduk sempurna. Rukun dan wajib solat sempurna. Menghadirkan Allah dalam solatnya (Hudhuru al-Qalb). Mencapai tahap khusyuk yang hampir kepada kesempurnaan. Muqarrab bermakna yang dekat.

Antara cara mendapat khusyuk dalam solat:

  1. Membaca ayat/surah yang berbeza selepas al-Fatihah. Jika sepanjang masa kekal dengan Qulhu (al-Ikhlas), hal itu mengurangkan khusyuk kerana bacaan dikawal oleh minda separuh sedar.
  2. Menguatkan suara sekadar didengar telinga sendiri. Kerana syaitan akan lari apabila mendengar ayat al-Quran.

Nota:Rumusan Kuliah Subuh Sheikh Ali Soleh Ali Jabar, 19 Jan 2013, Masjid al-Hasanah, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Sheikh seorang ulama berasal dari Indonesia yang menetap di Madinah. Ulama terkenal di nusantara. Giat berdakwah di Thailand, Indonesia, Malaysia dan Brunei. Menguruskan sekolah agama (sekolah antarabangsa) di Jakarta yang muridnya 30 ribu orang.

Kongsi artikel ini..Share on Facebook2Tweet about this on TwitterShare on Google+0Email this to someone

Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *